Selasa, Oktober 08, 2024

Catatan Tadabbur Al-Quran Surah Al-Baqarah Ayat 1-7

Assalamualaikum dan selamat malam, seperti yang aku maklumkan pada catatan terdahulu aku sekarang ini sedang dalam proses cuba untuk beristiqomah mentadabburi Al-Quran dari satu ayat ke satu ayat. Dalam mentadabburi Al-Quran aku ada membuat catatan-catatan dan di sini aku nak kongsikan catatan aku dari surah Al-Baqarah ayat 1 hingga ayat 7. 

Mulanya aku tidak tahu nak bahagikan surah dimacam mana namun setelah dikaji ada pembahagian Al-Quran mengikut ruku'. Pada yang dulu pernah gunakan Al-Quran Al-Majid atau Al-Quran versi asia tengah (India, Pakistan, Bangladesh dan lain-lain) selain dari pembahagian juzu' ada juga pembahagian secara ruku' yang ditanda dengan huruf 'ain. Jadi untuk surah Al-Baqarah ada 40 ruku' semuanya dan aku kongsikan catatan bagi ruku' pertama di bawah ini. 

Tadabbur Surah Al-Baqarah

  1. Surah Baqarah merupakan surah ke 87 yang diturunkan. Ia merupakan surah terpanjang dalam Al-Qur’an yang mengandungi sebanyak 286 ayat. Ia adalah surah madaniyah dan diturunkan pada tahun 2 Hijrah.

  2. Surah yang kedua ini dinamakan Surat “al-Baqarah” yang bererti ‘lembu betina’, kerana ada kisah tentang Bani Israil disuruh oleh Nabi Musa mencari seekor lembu betina untuk disembelih; ayat 67 sampai 74.

  3. Yang menentukan nama surah adalah Rasulullah ﷺ sendiri dengan petunjuk Jibril.

  4. Allah ‎ﷻ bukan marah ‘bangsa Yahudi’, tetapi ‘sifat Yahudi’ kerana ada yang baik dan isteri Nabi pun ada berbangsa Yahudi.

  5. “Janganlah menjadikan rumah kamu seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah”. (Riwayat Muslim (780))

  6. Surah ini dinamakan juga dengan الزهراء yang bermaksud ‘terang benderang’,

Ayat 1

الٓمٓ

  1. Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqatta’ah.

  2. Ia termasuk ayat-ayat Mutashabihaat (samar maknanya dan tidak jelas).

  3. Ada pendapat mengatakan alif mewakili Allah, lam mewakili Jibril dan mim mewakili Muhammad tetapi pendapat ini tidak berlandaskan dalil. Ada pendapat mengatakan ia ada makna yang hanya Allah mengetahuinya namum tiada dalil. Ada pendapat mengatakan ia tiada makna, hanya ada hikmah dan ada pendapat yang tawaqquf; menerimanya sahaja tanpa menyebelahi mana-mana pendapat.

Ayat 2

ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِّلمُتَّقينَ

  1. Qur’an is for yourself, not your shelf.

  2. Perkataa "itu" digunakan kerana; 1. Tingginya nilai Al-Qur'an, 2. Menujukan kepada kitab sempurna yang di langit dunia, 3. Jawapan kepada doa memohon hidayah dalam surah Al-Fatihah, itulah hidayahnya (Al-Qur'an).

  3. Mesti menerima seluruh ayat Al-Qur'an tanpa sangsi dan kritik.

  4. Orang bertakwa ialah orang yang taat pada hukum Allah dan berhati-hati dalam perbuatannya.

  5. Tiga makna taqwa (menghindar), 1. Menghindar dari kekufuran kepada Allah, 2. Menghindar larangan dan melakukan suruhan, 3. Menghindar dai aktiviti yang menjauhkan diri dari Allah.

  6. 4 ciri-ciri orang bertaqwa; 1. Tidak sombong menerima kebenaran, 2. Tidak mengikut orang secara membuta tuli, 3. Takut balasan Allah, 4. Kawal diri (nafsu) dari meninggalkan suruhan dan melakukan perkara yang dilarang.

Ayat 3

الَّذينَ يُؤمِنونَ بِالغَيبِ وَيُقيمونَ الصَّلَوٰةَ وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ

  1. Tiga ciri orang bertaqwa; 1. Beriman kepada perkara ghaib, 2. Mendirikan solat, 3. Menginfakkan sebahagian dari rezeki yang Allah beri.

  2. Puncak kepada beriman kepada perkara ghaib ialah percaya kepada Allah.

  3. Contoh perkara ghaib; Allah, Malaikat, peristiwa akan datang.

  4. Tiada yang tahu tentang peristiwa akan datang melainkan sedikit yang Allah beritahu kepada Nabi Muhammad.

  5. Jika Nabi pun tidak tahu perkara ghaib melainkan apa yang Allah beritahu, bagaimana kita boleh percaya ada orang yang boleh tahu perkara ghaib.

  6. Malaikat pencatat amalan (Raqib dan Atid) hanya mencatat amalan yang nampak sahaja, dari segi keikhlasan atau sama ada sesorang itu beramal kerana Allah, hanya Allah yang maha mengetahui.

  7. Lima dari 6 rukun iman adalah perkara ghaib, yang tidak ghaib ialah Al-Quran, melaluinya kita tahu dan perlu tahu tentang perkara ghaib.

  8. Solat mewakili hubungan kita dengan Allah (puncak perkara Ghaib).

  9. Solat yang baik dan khusyuk akan menghalang perbuatan buruk terutama perkara syirik; Nabi ﷺ bersabda: “Sungguh, yang memisahkan antara seorang laki-laki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat’.” (Sahih Muslim No. 116).

  10. Terdapat tiga jenis infaq; 1. Fardhu iaitu merujuk kepada pengeluaran Zakat yang ada hukumnya tersendiri, 2. Wajib iaitu yang mesti kita lakukan seperti memberi nafkah kepada ahli keluarga, 3. Sunat iaitu membantu orang susah.

Ayat 4

وَالَّذينَ يُؤمِنونَ بِمآ أُنزِلَ إِلَيكَ وَمآ أُنزِلَ مِن قَبلِكَ وَبِالآخِرَةِ هُم يوقِنونَ

  1. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Qur’an” yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).

  2. Al-Quran bukan hanya diterima oleh orang yang bukan ahli kitab tetapi juga ahli kitab dalam kalangan Yahudi dan Nasrani.

  3. Arahan untuk tadabbur Al-Qur’an disebut di dalam beberapa ayat antaranya Muhammad: 24أَ(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?

  4. Di zaman nabi saw, hanya ahli kitab beriman kepada hari akhirat kerana mereka mempunyai maklumat tentang perkara itu manakala musyrikin Mekah tidak beriman dengan dengan hari akhirat.

  5. Maksud beriman kepada hari akhirat; 1. Semua yang dilakukan di dunia dipertanggung jawabkan kepada Allah pada hari akhirat, 2. Semua aturan dunia tidak kekal dan sampai masanya akan hancur binasa, 3. Setelah selesai alam dunia, alam penyaringan dan perhitungan akan menyusuli, 4. Syurga untuk yang berat amal baik dan neraka untuk yang berat amal buruk, 5. Bahagia atau susah di dunia adalah sementara, yang lebih penting ialah bekalan untuk hari akhirat iaitu taqwa.

  6. Peringkat seterusnya setelah beriman kepada hari akhirat atau perkara ghaib ialah keyakinan yang hanya dapat dipupuk melalui memahami Al-Quran.

Ayat 5

أُولٰٓئِكَ عَلىٰ هُدًى مِّن رَّبِّهِم ۖ وَأُولٰٓئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

  1. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

  2. Kita kena pastikan yang ajaran agama kita mestilah bersandarkan wahyu daripada Allah.

  3. Setiap hari kita akan minta hidayah daripada Allah ﷻ di dalam Surah Fatihah iaitu Ayat 6.

  4. Kejayaan yang sebenarnya adalah apabila kita selamat di akhirat kelak.

Ayat 6

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا سَواءٌ عَلَيهِم ءأَنذَرتَهُم أَم لَم تُنذِرهُم لا يُؤمِنونَ

  1. Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.

  2. Ada banyak perkara kufur yang membawa kepada kekafiran namun dalam ayat ini kekafiran adalah disebabkan mereka menutup kebenaran walaupun mereka mengetahuinya.

  3. Lima kekufuran besar; 1. Kufur kerana mendustakan, 2. kufur kerana sombong, 3. Kufur kerana ragu, 4. Kufur kerana berpaling, 5. Kufur kerana kemunafikan.

  4. Ramai di kalangan Quraish Mekah menolak kebenaran kerana kedudukan. Ramai Yahudi Madinah menolak kebenaran kerana iri hati kepada rasul akhir yang bukan dari kalangan mereka.

Ayat 7

خَتَمَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ ۖ وَعَلَىٰٓ أَبْصَـٰرِهِمْ غِشَـٰوَةٌۭ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ

  1. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

  2. Walaupun dalam ayat ini disebut Allah yang menutup hati mereka sebenarnya ia berpunca dari perbuatan mereka sendiri yang melakukan dosa berterusan.

  3. Kalimah qulub dalam jamak berbanding sam'i dan basori dalam bentuk mufrad kerana punca kesesatan dan hidayah ada banyak jalannya dan jalan ini melalui hati-hati manusia (sedangkan hati manusia hanya satu).

  4. Yang dikunci itu bukan telinga, tetapi pendengaran mereka. Bukan mata yang ditutup sampai tidak nampak langsung tetapi pemahaman mereka.

  5. Azab kekufuran itu amat besar; 1. Azab dalam kehidupan dunia dan, 2. Azab di akhirat kelak.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan