Rabu, Oktober 16, 2024

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 2 (Ayat 8-20)

Assalamualaikum dan selamat malam, malam tadi telah selesai tadabbur ruku' kedua surah Al-Baqarah. Dalam surah al-Baqarah ada 40 ruku' semuanya semoga dapatlah aku habiskan semuanya. Buat sikit-sikit yang penting berterusan. Di bawah ni aku kongsikan catatan tadabbur ayat 8 hingga ayat ke 20.

Ayat 8

وَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ ءآمَنّا بِاللهِ وَبِاليَومِ الآخِرِ وَما هُم بِمُؤمِنينَ

  1. Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.

  2. Beriman kepada Allah dan hari akhirat adalah ringkasan bagi 6 rukun iman, Yahudi dan Nasrani mengimani keduanya, kafir Quraish hanya mengimani Allah sebagai tuhan dan tidak hari akhirat.

  3. Kalimat munafik atau sifat nifaq itu asal ertinya ialah lubang tempat bersembunyi di bawah tanah. Golongan munafik mengaku beriman dan menampakkan keislaman kerana mereka takut disisih masyarakat.

  4. Dua golongan munafik di Madinah; 1. Yahudi yang terhimpit akibat berkembangnya Islam, 2. Arab Madinah yang dipimpin Abdullah bin Ubai yang semakin hilang pengaruh, dibelakang nabi dia mencemuh tetapi di hadapan nabi dia pura-pura baik.

Ayat 9

يُخَٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَمَا يَخۡدَعُونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمۡ وَمَا يَشۡعُرُونَ

  1. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.

  2. Ini adalah sifat utama orang munafik: menipu. Malah dengan Allah ﷻ pun mereka cuba hendak tipu.

  3. Tidaklah penipuan orang munafik itu akan memberi kesan bahaya kepada orang lain melainkan diri mereka sendiri sahaja.

Ayat 10

فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضً۬ا‌ۖ وَلَهُم عَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكذِبُونَ

  1. Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

  2. Penyakit yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah penyakit hati, ia juga bermaksud dengki dan benci dengan kebenaran serta pembawa kebenaran. Surah lain yang banyak menyebut tentang golongan munafik adalah Surah Baro'ah (Al-Taubah.

  3. Golongan munafik mementingkan diri sendiri, mereka cintakan dunia. Mereka masuk Islam kerana hendakkan habuan dunia. Jika Islam mendatangkan faedah kepada mereka, mereka terima, kalau tiada keuntungan buat mereka, mereka akan tolak.

  4. Asalnya penyakit orang munafik hanyalah ragu-ragu, kemudian Allah tambah penyakit baru iaitu terus menolak kebenaran. Orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Azab kepada mereka lebih teruk dari azab kepada orang kafir.

  5. Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tanda-tanda munafik ada tiga; jika berbicara dusta, jika berjanji mengingkari dan jika diberi amanat dia khianat”. (Sahih Bukhari (32))

Ayat 11

وَإِذا قيلَ لَهُم لا تُفسِدوا فِي الأَرضِ قالوٓا إِنَّما نَحنُ مُصلِحونَ

  1. Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.

  2. Di antara perkara yang dilakukan oleh orang munafik di Madinah ialah mereka hadir ke majlis orang Yahudi, sepatutnya mereka rapat dengan kaum muslimin. Perkara ini ditegur oleh sahabat.

  3. Kerosakan yang dilakukan golongan munafik yang asalnya dari Madinah (ansar) ialah mereka meminta pendapat dari pendeta Yahudi dan menyebarkannya dalam kalangan kaum muslimin.

  4. Di hadapan Rasulullah mereka mengaku beriman tetapi lain pula tabiat mereka sebenarnya. Golongan ini melemahkan Islam dari dalam. Ini berbeza dengan orang kafir yang merosakkan Islam dari luar.

  5. Apabila ditegur tentang kerosakan mereka (orang munafik), mereka membantah menyatakan mereka berbuat perkara yang baik.

Ayat 12

أَلَآ إِنَّهُم هُمُ ٱلمُفسِدُونَ وَلَـٰكِن لَّا يَشعُرُونَ

  1. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.

  2. Orang Munafik itu sebenarnya berbuat kerosakan, kerana mereka telah menjadikan kebenaran kelihatan samar. Kebenaran telah jelas namun disebabkan kejahilan, mereka tidak sedar.

  3. Kalimah إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ digunakan untuk menjawab sangkaan mereka dalam ayat sebelum ini iaitu hanya mereka sahaja yang melakukan kebaikan إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ.

  4. Setelah diberi pengajaran daripada Al-Qur’an, mereka terima sesetengahnya sahaja maka mereka akan terus berada dalam keraguan. Kefahaman agama tercabut daripada mereka kerana mereka bersifat munafik sejak mulanya lagi.

  5. Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”. (Al-Kahf 103-104).

  6. Ramai golongan pengamal bid’ah tidak akan berubah kerana mereka tidak cukup kefahaman agama untuk faham kesalahan bid’ah itu.

Ayat 13

وَإِذَا قِيلَ لَهُم ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُ‌ۗ أَلَآ إِنَّهُم هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَـٰكِن لَّا يَعلَمُونَ

  1. Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

  2. Tetap ada yang memberi nasihat dan teguran kepada orang munafik itu untuk hanya belajar dengan nabi dan tidak perlu lagi bertanya kepada pendeta Yahudi. Petunjuk nabi adalah petunjuk yang paling benar, cara beriman yang paling benar ialah cara berimannya para sahabat.

  3. Maksud ahli sunnah wal jamaah bermaksud nabi dan para sahabat. Jamaah bukan bermaksud majoriti. Golongan munafik menghina nabi dan para sahabat kerana menurut mereka; 1. Pendeta Yahudi lebih pandai dari nabi, 2. Kaum muhajirin miskin dan bodoh kerana meninggalkan kampung mereka di Mekah.

  4. Orang munafik mengutamakan belajar dari kitab karangan manusia berbanding Al-Quran dan sunnah nabi. Mereka bertanya kepada pendeta Yahudi kerana lebih berpengaruh dan kaya. Allah menegaskan bahawa merekalah yang sebenarnya bodoh. Mereka tidak boleh bezakan manakah nafsu dan mana wahyu.

Ayat 14

وَإِذا لَقُوا الَّذينَ ءآمَنوا قالوٓا ءآمَنّا وَإِذا خَلَوا إِلىٰ شَيٰطينِهِم قالوٓا إِنّا مَعَكُم إِنَّما نَحنُ مُستَهزِءونَ

  1. Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: ” Kami telah beriman “, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”.

  2. Mereka berkeadaan “muzabzab” (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman). (Al-Nisa 143).

  3. Orang munafik berpura-pura beriman untuk mengelakkan dari; 1. Dibunuh, 2. Dimusuhi, 3. Tidak menerima zakat, 4. Tidak menerima ghanimah.

  4. Sebenarnya, ‘syaitan’ itu adalah sifat yang menjauhkan manusia daripada Allah. Sekiranya yang menjauhkan itu adalah jin maka dia adalah syaitan, sekiranya yang menjauhkan itu adalah manusia maka dia adalah syaitan.

Ayat 15

ٱللَّهُ يَسۡتَهۡزِئُ بِهِمۡ وَيَمُدُّهُمۡ فِي طُغۡيَٰنِهِمۡ يَعۡمَهُونَ

  1. Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).

  2. Allah ﷻ akan membalas sesuai dengan perbuatan dosa manusia. Kalau orang munafik melakukan olok-olok, maka Allah ﷻ juga akan balas dengan mengolok-ngolok mereka.

  3. Allah membiarkan perbuatan orang munafik itu bukan kerana Allah redha. Bukan semua perbuatan yang tidak dilarang menunjukkan Allah redha atas perbuatan itu.

  4. Allah membiar orang munafik itu sesat kerana mereka sendiri yang memilih jalan yang sesat berbanding jalan wahyu. Mereka juga tidak mahu mendengar kebenaran.

  5. Disebabkan tidak menerima kebenaran hati mereka menjadi kebingungan dan tidak tenang, mereka yang merosakkan Islam ini akan dikumpulkan dalam neraka yang paling dalam.

Ayat 16

أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا الضَّلٰلَةَ بِالهُدىٰ فَما رَبِحَت تِّجٰرَتُهُم وَما كانوا مُهتَدينَ

  1. Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.

  2. Tujuan kita belajar tentang orang munafik ialah supaya kita tidak mengikuti sifat-sifat mereka. Mereka membeli kesesatan dengan menjual petunjuk yang telah nyata kebenarannya.

  3. Orang munafik dalam kalangan ansar Madinah melihat sendiri kebenaran nabi, ayat-ayat Allah dibacakan sendiri oleh nabi kepada mereka, mereka bersolat di masjid nabi, melihat sendiri akhlak nabi tetapi mereka tetap meninggalkan kebenaran.

  4. Orang munafik bukan hanya 'pilih' kesesatan tetapi mereka 'beli' menunjukkan mereka suka kepada kesesatan itu. Mereka menjual agama demi keuntungan dunia (penunggang agama), demi kedudukan, harta rampasan perang, wang zakat mereka berpura-pura beriman.

  5. Bersifat munafik adalah perniagaan yang yang tidak menguntungkan, perniagaan yang untung dinyatakan dalam surah Saff ayat 10-11 iaitu "beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu".

Ayat 17

مَثَلُهُم كَمَثَلِ ٱلَّذِى ٱستَوقَدَ نَارًا فَلَمَّآ أَضَآءَت مَا حَولَهُ ۥ ذَهَبَ ٱللَّهُ بِنُورِهِم وَتَرَكَهُم فِى ظُلُمَـٰتٍ لَّا يُبصِرُونَ

  1. Perbandingan hal mereka samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).

  2. Ayat 17-20 merupakan ayat perumpamaan 'مَثَلُهُم' pertama, setelah menerangkan sifat golongan tertentu Allah beri perumpamaan supaya manusia lebih faham. Ayat 17 & 18 merujuk kepada golongan 'kafir degil' dan ayat 19 & 20 merujuk kepada 'kafir jahil'.

  3. "Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan daripada Qur’an ini kepada manusia semua sekali, daripada berbagai contoh bandingan mudah-mudahan mereka mengambil peringatan"; Al-Zumar 27. "Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu"; Al-Ankabut 43.

  4. Golongan kafir degil merujuk kepada kelompok Yahudi dan musyrikin Mekah. Api yang dimaksudkan ialah cahaya kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad dengan Al-Quran.

  5. Bagi musyrikn di Mekah awalnya mereka juga merasa tempias cahaya kebenaran hingga sampai suatu masa cahaya ini ditarik serta merta dengan hijrahnya kaum muslimin setelah berda'wah selama 10 tahun. Mereka terus tinggal dalam kegelapan-kegelapan kesyirikan.

Ayat 18

صُمُّۢ بُكمٌ عُمىٌ فَهُم لَا يَرجِعُونَ

  1. Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).

  2. Telinga orang-orang musyrikin Mekah dan orang-orang Yahudi masih boleh lagi mendengar, tetapi mereka tidak boleh mendengar kebenaran. Mereka ada mulut dan boleh bercakap tetapi mereka tidak bercakap tentang kebenaran. Mata mereka masih boleh nampak lagi, tetapi mereka tidak boleh nampak kebenaran.

  3. Tiga pancaindera penting untuk mendapat ilmu yang benar ialah pendengaran, percakapan dan penglihatan. Apabila bila ketiga-tiga pencaindera ini ditutup tidak ada lagi ruang di hati mereka untuk menerima kebenaran. Peluang untuk mendapat hidayah telah ditarik.

Ayat 19

أَوۡ كَصَيِّبٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ فِيهِ ظُلُمَٰتٞ وَرَعۡدٞ وَبَرۡقٞ يَجۡعَلُونَ أَصَٰبِعَهُمۡ فِيٓ ءَاذَانِهِم مِّنَ ٱلصَّوَٰعِقِ حَذَرَ ٱلۡمَوۡتِۚ وَٱللَّهُ مُحِيطُۢ بِٱلۡكَٰفِرِينَ

  1. Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.

  2. Ayat ini merupakan perumpamaan kepada golongan kafir jahil iaitu Munafikin dan Nasara dan mereka yang bersifat seperti mereka, tidak kira sama ada mereka itu mengaku Muslim atau tidak.

  3. Allah menggunakan perumpamaan kejadian hujan kerana hujan seperti wahyu kepada manusia sebagaimana hujan memberi manfaat kepada manusia, haiwan dan tumbuhan. Sebelum hujan suasananya gelap melambangkan kesyirikan dan amalan salah yang mereka lakukan.

  4. Guruh menggambarkan ancaman-ancaman di dalam Al-Quran kepada orang yang salah akidahnya. Petir dalam bentuk cahaya terang benderang menggambarkan dalil-dalil Al-Quran berkenaan pentingnya beriman penuh kepada Allah dan meninggalkan kesesatan-kesesatan.

  5. Kemudian turun hujan lebat yang menggambarkan Al-Quran keseluruhannya yang menjadi petunjuk yang ditunggu-tunggu manusia sebagai mana orang di negara Arab menunggu-nunggu hujan turun.

  6. Setelah turunnya wahyu golongan kafir jahil iaitu munafikin dan nasara menutup telinga mereka dari mendengar wahyu, mereka menutupnya bukan dengan satu jari tetapi banyak jari menunjukkan mereka benar-benar tidak mahukan petunjuk.

  7. Golongan kafir jahil tidak mahu mendengar ancaman dan dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan Hadith, mereka lebih rela berada dalam kegelapan daripada mendapat cahaya.

  8. Golongan kafir jahil juga takutkan mati. Mati di sini pada mereka, kalau tinggalkan syirik, bid’ah dan maksiat itu, seolah-olah rasa mati pada mereka. Semua itu tidak rela untuk ditinggalkan mereka.

  9. Kemana pun golongan kafir jahil ini sentiasa dalam perhatian untuk diazab Allah, Allah menyimpulkan kelompok nasara dan munafikin ini adalah sebenarnya kafir.

Ayat 20

يَكَادُ ٱلۡبَرۡقُ يَخۡطَفُ أَبۡصَٰرَهُمۡۖ كُلَّمَآ أَضَآءَ لَهُم مَّشَوۡاْ فِيهِ وَإِذَآ أَظۡلَمَ عَلَيۡهِمۡ قَامُواْۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَذَهَبَ بِسَمۡعِهِمۡ وَأَبۡصَٰرِهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ

  1. Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

  2. Hampir sahaja hujan Al-Quran itu diterima oleh mereka, tetapi pada akhirnya orang munafik tetap tidak menerima hujah Al-Quran keseluruhannya.

  3. Orang munafik hanya menunjukkan keislamannya pada waktu tertentu atau apabila sesuatu itu menguntungkan mereka di dunia, contohnya dalam hal menerima zakar, memerima ghanimah. Orang munafik berat untuk solat Subuh dan Isya kerana gelap dan orang tidak nampak.

  4. Apabila Islam tidak menguntungkan mereka atau tidak sesuai dengan hawa nafsu mereka maka mereka menjauhkan diri dari Islam. Allah membiarkan mereka walaupun Allah boleh sahaja menghilangkan pendengaran dan penglihatan mereka.

  5. Al Hasan Al Bashri رَحِمَهُ اللَّهُ berkata, “Orang yang khuatir terjatuh pada kemunafikan, itulah orang mukmin. Yang selalu merasa selamat daripada kemunafikan, itulah sebenarnya munafik.” (Jami’ul ‘Ulum wal Hikam)

Sekian Ruku’ 2 daripada 40 ruku’ surah ini.

Sekian dahulu, semoga ada manfaatnya.

1 ulasan: