Selasa, November 05, 2024

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 3 (Ayat 21-29)

Assalamualaikum dan selamat malam. Alhamdulillah selesai tadabbur satu ruku' lagi iaitu ruku' ketiga dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah. Semakin lama semakin menarik sebenarnya tadabbur ni, jika lama tinggal tadabbur akan rasa gelisah juga. Saya kongsikan catatan tadabbur saya di sini. 

 

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 3 (Ayat 21-29)

Ayat 21-29 ini adalah seruan kepada Tauhid kepada sekalian manusia. Mereka mesti kembali kepada ajaran agama yang sebenar.

Ayat 21

يٰأَيُّهَا النّاسُ اعبُدوا رَبَّكُمُ الَّذي خَلَقَكُم وَالَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

  1. Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.

  2. Setelah Allah menerangkan ciri-ciri orang kafir dan munafik, dalam ayat ini Allah menyeru kepada sekalian manusia termasuk orang kafir. Disebabkan orang kafir tidak membaca Al-Quran, menjadi tanggung jawab kita untuk menyampaikannya dan jangan jadi seperti orang Yahudi yang menyembunyikan kitab mereka tanpa menyampaikan.

  3. Allah memerintahkan semua manusia untuk menyembah Allah semata-mata. Tidak boleh menyembah Allah dalam masa yang sama menyembah yang lain. Tidak juga boleh untuk tidak menyembah Allah dan menyembah selainnya.

  4. Allah memerintahkan semua manusia menyembah Allah kerana Allahlah yang mencipta manusia sekarang (umat Muhammad) atau manusia dahulu. Tidak ada disebut umat akan datang kerana umat Muhammad adalah umat terakhir.

  5. Allah memerintahkan supaya mengabdikan diri kepada Allah sama ada di dalam ibadat atau di luar ibadat. Ibadah yang kita disuruh lakukan itu bukanlah untuk kepentingan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tidak memerlukan ibadah kita. Ibadah membawa kepada ketaqwaan dan boleh menjadi sebab dimasukkan ke dalam syurga.

Ayat 22

الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ فِرٰشًا وَالسَّمآءَ بِنآءً وَأَنزَلَ مِنَ السَّمآءِ مآءً فَأَخرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرٰتِ رِزقًا لَّكُم ۖ فَلا تَجعَلوا لِلهِ أَندادًا وَأَنتُم تَعلَمونَ

  1. Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).

  2. Allah menjadikan bumi sebagai tempat tinggal, tempat mencari rezeki dan tempat ujian, tiada yang lain mampu menjadikan bumi. Ayat ini adalah dalil bahawa bumi dan isinya dijadikan untuk kegunaan manusia dan tempat tinggal manusia adalah di bumi dan bukan di planet lain.

  3. Bumi ini dihamparkan seluasnya untuk manusia, ia sesuai untuk kehidupan kerana adanya air, tanahnya boleh ditanam, udaranya sesuai untuk manusia, haiwan dan tumbuhan. Hasil buminya banyak. Maksud terhampar bukanlah rata keseluruhannya tetapi kerana luasnya maka ia seperti hamparan.

  4. Allah mencipta langit seperti binaan yang tidak runtuh walau tidak ada tiang. Langit ini bermaksud keseluruhan yang berada di atas, langit yang mampu dilihat mata manusia hanya lapisan pertama yang berwarna biru.

  5. Allah menurunkan hujan dan hujan tidak turun dengan sendirinya. Walaupun air disejat naik dari pelbagai jenis air, ada yang masin, kotor, berwarna dan berkarat tetapi apabila turun sebaai hujan airnya murni dari sifat asalnya.

  6. "Tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya? Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka kenapa kamu tidak bersyukur?" A-Waqi'ah 68-70.

  7. Allah menjadikan bumi dan isinya, langit dan hujannya sebagai nikmat yang perlu disyukuri dengan beribadah kepadaNya sebagai tanda kita adalah orang yang bertaqwa. Ramai manusia sibuk menikmati sampai tidak mensyukuri.

  8. Allah memerintahkan kita supaya menyembahNya semata-mata dan tidak menjadikan apa-apa pun selainNya sebagai tandingan. Di antara bentuk tandingan yang manusia buat ialah mengharapkan berkat dari makhluk dan amalan mengharapkan makhluk untuk menghapuskan dosa, bala atau sial.

Ayat 23

وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ

  1. Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Qur’an) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur’an itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

  2. Allah menggelar nabi saw sebagai hamba bukan kerana hina tetapi kerana mulia, siapa sahaja yang menjadi hamba kepada Allah hakikatnya adalah mulia, ini berbeza dengan menjadi hamba kepada makhluk, pasti ini adalah kehinaan.

  3. Allah menggelar nabi saw sebagai hamba supaya menunjukkan nabi adalah manusia biasa yang ditugaskan untuk menyampaikan wahyu. Nabi bukan sembahan, bukan tempat untuk minta pertolongan dan nabi bukan dari nur (cahaya).

  4. Di antara sebab musyrikin Mekah ragu-ragu dengan wahyu yang nabi saw sampaikan adalah kerana nabi itu hanya manusia biasa sahaja. Mereka terpengaruh dengan bisikan syaitan. Mereka menuduh nabi saw menulis sendiri wahyu yang disampaikan dan menuduh nabi saw mendapatkan wahyu dari kitab dan orang lain.

  5. Disebabkan keraguan mereka, Allah mencabar mereka untuk mencipta sendiri satu ayat yang dapat menandingi Al-Quran dan ternyata mereka tidak mampu. Allah mencabar lagi dengan meminta mereka mencari orang hebat, sembahan mereka dan jin untuk membantu mereka menandingi Al-Quran.

Ayat 24

فَإِن لَّم تَفعَلوا وَلَن تَفعَلوا فَاتَّقُوا النّارَ الَّتي وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ ۖ أُعِدَّت لِلكٰفِرينَ

  1. Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.

  2. Orang kafir telah mencuba mencipta ayat yang boleh menandingi Al-Quran namun tidak berjaya, buka setakat mereka telah tidak berjaya bahkan selama-lamanya mereka tidak akan berjaya.

  3. Katakanlah: “Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al-Qur’an ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekali pun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain”; Al-Isra 88.

  4. Ayat ini merupakan dalil bahawa Nabi pun tak mampu mencipta Al-Quran lalu dari mana datangnya? Pasti ianya merupakan kalam Allah yang mencipta dan mengatur alam ini.

  5. Kehebatan Al-Quran 1/2: 1. Terlalu banyak ajaran yang merangkumi terlalu banyak topik, mustahil manusia mampu menciptanya, 2. Bahasa yang terlalu indah bahkan diakui oleh orang yang menolak Islam, 3. Al-Quran menyebut perkara yang akan terjadi, 4. AlQuran menceritakan perkara lalu yang tidak diketahui manusia, 5. AlQuran menyebutkan tentang lintasan hati manusia; Mujadilah: 8.

  6. Kehebatan Al-Quran 2/2: 6. AlQuran menyebutkan perkara yang manusia tidak mampu lakukan, dan nyata memang tidak mampu, 7. AlQuran amat indah untuk didengari sama ada faham atau tidak, 8. Membacanya tidak akan bosan, berapa kali AlFatihah telah dibaca?, 9. Tetap sama di mana-mana dan tidak berubah atau hilang, 10. Nasihatnya menyeluruh dan tidak terdapat dalam mana-mana kitab, 11. Bukan hanya teori tetapi mengajarkan amalan.

  7. Setiap api ada bahan bakarnya dan bahan bakar bagi api neraka adalah manusia dan apa yang manusia sembah selain Allah. "Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah, adalah kayu api Jahannam, kamu pasti masuk ke dalamnya."; Al-Anbia' 98.

  8. Allah ﷻ telah meletakkan fitrah keimanan ke dalam diri setiap insan, tetapi orang-orang kafir menyembunyikannya. Ayat ini adalah dalil neraka telah ada dan sedang menunggu untuk mengazab.

Ayat 25

وَبَشِّرِ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ أَنَّ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ ۖ كُلَّما رُزِقوا مِنها مِن ثَمَرَةٍ رِّزقًا ۙ قالوا هٰذَا الَّذي رُزِقنا مِن قَبلُ ۖ وَأُتوا بِهِ مُتَشٰبِهًا ۖ وَلَهُم فيها أَزوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ ۖ وَهُم فيها خٰلِدونَ

  1. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.

  2. Berita gembira kepada orang beriman ini bermakna beriman sepenuhnya dengan tidak melakukan syirik.Ini kerana ada yang beriman kepada Allah namun dalam masa yang sama ada menyembah kepada yang selainNya.

  3. Syurga yang dijanjikan buat orang beriman adalah tempat yang tidak ada kerja, tidak ada ibadah, tidak tidur, tidak lapar, tidak ada kerisauan. Ia adalah tempat untuk memuaskan syahwat dan penghuninya mampu menerima segala nikmat itu. Tidak ada perasaan atau emosi yang tidak menyenangkan.

  4. Orang beriman hanya beramal dengan amalan soleh, kerana amalan boleh saja bathil jika tidak mencontohi Nabi saw. Dua syarat amalanditerima; 1. Ikhlas kerana Allah, 2. Mencontohi sunnah Nabi saw. Amalan tidak sementinya perlu banyak, yang lebih penting ialah kualiti.

  5. Sesuatu amalan perlu ada mahabbah atau kecintaan kepada Allah semata dan perlu menta'zimkan Allah semata. Amalan bukan dibuat untuk mencintai atau mengangungkan selain dari Allah seperti tokoh tertentu, jalan tertentu atau kelompok tertentu.

  6. Di syurga dijanjikan sungai-sungai tertentu kerana fitrah manusia sentiasa sukakan air, dengan adanya air manusia rasa selamat, nyaman dan tenang. Allah menyebutkan beberapa jenis sungai dalam surah Muhammad 15.

  7. Satu lagi fitrah manusia ialah sukakan buah-buahan, syurga di dalamnya pelbagai jenis buah-buahan yang rasanya lebih enak dari buahan dunia. Rasanya sentiasa sedap bahkan semakin lama semakin sedap. Dihidangkan juga buahan yang sama seperti buahan dunia supaya ahli syurga dapat membandingkan dengan apa yang pernah dimakan di dunia.

  8. Satu lagi fitrah manusia ialah ingin mempunyai pasangan, disediakan di syurga pasangan yang sentiada suci bersih, fizikalnya sentiada elok, akhlaknya sentiada elok dan sentiada sedia melayan keperluan syahwat. Penghuni syurga akan di dalamnya selamanya.

Ayat 26

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَستَحىِۦۤ أَن يَضرِبَ مَثَلاً مَّا بَعُوضَةً فَمَا فَوقَهَا‌ۚ فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَيَعلَمُونَ أَنَّهُ ٱلحَقُّ مِن رَّبِّهِمۡ‌ۖ وَأَمَّا ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ فَيَقُولُونَ مَاذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِهَـٰذَا مَثَلاً۬‌ۘ يُضِلُّ بِهِۦ ڪَثِيرًا وَيَهدِى بِهِۦ كَثِيرًا‌ۚ وَمَا يُضِلُّ بِهِۦۤ إِلَّا ٱلفَـٰسِقِينَ

  1. Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya). Kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?” (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;

  2. Allah tidak malu untuk membuat pelbagai contoh di dalam AlQuran di antaranya nyamuk, lalat, dan labah-labah. Sudahlah orang-orang kafir tidak mampu mencipta surah yang boleh menandingi AlQuran, mereka menghina nyamuk yang dijadikan sebagai contoh sedangkan berhala yang mereka sembah tidak mampu mencipta sesuatu apapun.

  3. Bagi orang yang beriman, mereka menerima apa sahaja contoh perbandingan di dalam AlQuran tetapi mereka menjadikan contoh perbandingan sebagai bahan untuk menghina kerana hujan mereka adalah lemah. Orang kafir mencari hujan dari AlQuran untuk tujuan menghina kebenaran menggunakan akal mereka kerana mereka tiada kitab.

  4. Bagi orang beriman, AlQuran dan sunnah dipelajari supaya dapat beramal dengan betul sedangkan orang yang sesat membuat suatu amalan yang tiada contohnya kemudian mencari dalil untuk membenarkan amalan itu, dalilnya walaupun mungkin sohih tetapi tidak sarih (jelas dan betul konteks).

  5. Ayat ini menunjukkan mukjizat AlQuran yang menyatakan ada sesuatu yang di atas nyamuk, bila kajian dibuat di zaman terkemudian didapati memang ada parasit yang lebih kecil dari nyamuk di atas nyamuk. Nyamuk yang kecil ini kesannya besar kepada manusia, melaluinya ada penyakit yang menyebab ratusan ribu orang mati setiap tahun dengan izin Allah jua.

  6. AlQuran adalah petunjuk kepada kebenaran tetapi ada juga sebahagian manusia yang menjadi sesat kerananya, kesesatan ini adalah kerana tidak belajar AlQuran dengan betul, membuat tafsiran-tafsiran sendiri dan memahaminya bukan di atas jalan atau kefahaman para salafussoleh.

Ayat 27

ٱلَّذِينَ يَنقُضُونَ عَهدَ ٱللَّهِ مِنۢ بَعدِ مِيثَـٰقِهِۦ وَيَقطَعُونَ مَآ أَمَرَ ٱللَّهُ بِهِۦۤ أَن يُوصَلَ وَيُفسِدُونَ فِى ٱلأَرضِ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلخَـٰسِرُونَ

  1. (Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi.

  2. Orang yang mencabuli perjanjian dengan Allah dalam ayat ini ialah yang pertama; musyrikin Mekah, mereka tahu Nabi Muhammad membawa kebenaran seperti mana mereka beragama tetapi mereka tidak mahu buang amalan nenek moyang yang bukan dari agama Nabi Ibrahim as.

  3. Orang yang mencabuli perjanjian dengan Allah dalam ayat ini ialah yang kedua; Yahudi Madinah, mereka tahu Nabi Muhammad membawa kebenaran seperti mana mereka beragama tetapi mereka tidak mahu terima nabi terakhir ini bukan dari kalangan bangsa mereka.

  4. Setiap kali melakukan amalan yang bukan daripada syariat Islam yang diajar oleh Nabi ﷺ, setiap kali itu Allah ﷻ akan memberikan hijab kepada mereka. Akhir sekali, sampai kepada satu tahap di mana terkunci mati terus hati mereka.

  5. Selain perjanjian ketika hidup setiap manusia telah melakukan perjanjian dengan Allah dari alam roh lagi; Al-A'raf 172: “...Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi...”. Janji Allah ﷻ bersuara dalam batin manusia sendiri iaitu kesedaran akalnya. Apabila akal digunakan mestilah timbul kesedaran tentang Allah.

  6. Apabila sanggup menolak kebenaran dengan Allah, mereka menolak pula kebenaran sesama manusia bahkan mereka sanggup memutuskan silaturrahmi semata-mata untuk menolak kebenaran. Ada juga golongan sesat yang hanya menerima Al-Quran tetapi menolak hadith nabi saw.

  7. Mereka ini sebenarnya melakukan kerosakan di dunia. Kerosakan di sini bukan bermaksud kerosakan fizikal bumi tetapi kerosakan dengan melakukan amalan-amalan yang di luar syariat, iaitu amalan yang bukan agama tetapi mereka kata ia adalah agama atau amalan dari agama lain.

  8. Golongan Musyrikin Mekah dan Yahudi Madinah serta orang-orang yang mencontohi kedegilan mereka untuk menerima kebenaran adalah golong yang paling rugi. Mereka menolak kebenaran, mencipta syariat baru, memutuskan hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.

Ayat 28

كَيفَ تَكفُرونَ بِاللهِ وَكُنتُم أَموٰتًا فَأَحيٰكُم ۖ ثُمَّ يُميتُكُم ثُمَّ يُحييكُم ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ

  1. Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

  2. Maka kalimah كَيْفَ di dalam ayat ini adalah istifham inkari. Allah ﷻ tanya bagaimana lagi manusia itu boleh kufur setelah Allah menhidupkan mereka? Jawapan bagi isfaham inkari adalah tidak. Sebelum kita dihidupkan kita telah berada dalam keadaan mati, tanpa rupa bentuk, tanpa nama dan tiada apa-apa langsung.

  3. Setelah Allah menghidupkan, semua keperluan disediakan lalu ramai yang kufur kerana kesenangan dunia. Kemudian Allah mematikan semula. Kematian adalah nikmat bagi orang beriman kerana ia merupakan pintu kepada jalan menuju syurga. Kematian adalah kesengsaraan bagi orang tidak beriman kerana ia adalah pintu kepada jalan menuju neraka.

  4. Kemudian Allah akan menghidupkan semua manusia semula di hari Akhirat. Dinamakan Akhirat kerana tidak ada lagi kehidupan setelahnya. Setelah dihidupkan pada kehidupan akhir, setiap manusia akan menghadap Allah untuk menerima pengadilan.

Ayat 29

هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ لَكُم مَّا فِى ٱلأَرضِ جَمِيعًا ثُمَّ ٱستَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ فَسَوَّٮٰهُنَّ سَبعَ سَمَـٰوٰتٍ۬‌ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَىءٍ عَلِيمٌ

  1. Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

  2. Ayat ini adalah dalil bahawa segala yang ada di bumi ini adalah kepunyaan Allah untuk kegunaan manusia kecuali jika ada pula dalil larangannya. Allah menjadikan kehidupan dunia ini sebagai landasan kepada manusia untuk ke Syurga.

  3. Setelah selesai penciptaan bumi untuk kegunaan manusia, Allah ciptakan pula 7 lapisan langit dalam keadaan sempurna. Manusia melihat kebesaran Allah melalui penciptaan bumi setelah itu lihat pula kebesaran Allah melalui penciptaan langit yang termasuk di dalamnya bintang, planet, bulan, galaksi dan objek angkasa lain.

  4. Ilmu manusia adalah terhad, di mana batas langit pertama, kedua, seterusnya hingga tujuh, setelah itu adanya Arash Allah di mana Allah beristiwa. Di atas terhadnya ilmu manusia kepada perkara ghaib kita perlu mengimani apa yang telah Allah khabarkan kepada kita melalui Al-Quran.

Tamat ruku’ 3 (ayat 21-29) daripada 40 ruku’ dalam surah Al-Baqarah.

1 ulasan: