Sabtu, Februari 15, 2025

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 8 (Ayat 62-71)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 8 (Ayat 62-71)

Ayat 62

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَالَّذينَ هادوا وَٱلنَّصَـٰرَىٰ وَٱلصَّـٰبِـِٔينَ مَن آمَنَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

  1. Allah menyebutkan empat golongan di dalam ayat ini iaitu; 1. Golongan orang beriman, 2. Yahudi, 3. Nasrani dan 4. Saabi'en. Golongan beriman yang dimaksudkan ialah umat Muhammad saw yang beriman, imannya pula perlulah iman yang sempurna iaitu yang menolak syirik serta kepercayaan yang tidak sepatutnya dipercayai. Yahudi pula ialah umat Nabi Musa as. Walaupun ramai nabi diutuskan untuk mereka, yang utamanya ialah Nabi Musa.

  2. Perkataan Yahudi dikatakan berasal yahud atau had yang bermakna yang kembali bertaubat. Ini berdasarkan doa Nabi Musa as (Al-A'raf 156). Ada yang mengatakan ia dari perkataan tahawwud iaitu bergerak. Yahudi apabila membaca kitab atau berzikir gemar menggerakkan badan. Ada yang mengatakan ia dari Yahudza iaiyu salah seorang dari anak Nabi Yaakub as. Jew diambil dari nama salah seorang Nabi Mereka iaitu Yusha', ada juga pendapat ia dari Judah (Yahudza).

  3. Golongan Nasara pula ialah pengikut Nabi Isa as. Nasara bermaksud pembantu iaitu pembantu Nabi Isa. Ada juga pendapat mengatakan ia diambil dari perkataan Nazaret (Ibrani) atau Nashirah (Arab) iaitu satu tempat di Palestin. Golongan Saabi'en pula ialah salah satu dari agama langit juga, ada yang mengatakan mereka adalah pengikut Nabi Ibrahim as pada asalnya tetapi kemudian mula menyembah benda lain seperti bulan, bintang dan lain-lain. Golongan Saabi'en juga menyembah malaikat.

  4. Tiga golongan yang disebutkan dalam ayat ini iaitu Yahudi, Nasara dan Saabi'en tidak lagi sah setelah Allah utuskan Muhammad saw sebagai Nabi Akhir zaman, penutup segala syariat. Tidak akan ada syariat lain (ajaran baaru) setelah syariat Nabi Muhammad yang boleh dituruti. Keempat golongan yang Allah sebutkan dalam ayat ini sama sahaja nilai mereka di sisi Allah sekiranya mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta beramal soleh.

  5. “Apabila seseorang hamba masuk Islam, lalu Islamnya baik, dihapus daripadanya semua keburukan yang pernah dia lakukan. Kemudian setelah itu ada balasan yang adil; iaitu satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda. Adapun satu keburukan dibalas dengan sama, kecuali Allah mengampuninya.”; Riwayat al-Bukhari (41).

  6. Rasa takut ialah rasa yang paling banyak membelenggu hidup manusia, dari perasan takut boleh jadi punca untuk seseorang itu mendapat petunjuk, setelah mendapat petunjuk dengan beriman kepada Allah, semua rasa takut akan hilang setelah kita fahami hakikat kehidupan sebenarnya. Selain dari perasaan takut yang hilang setelah seseorang itu beriman, orang beriman juga tidak bersedih atas apa yang menimpanya. Matlamat utama ialah selamat di hari akhirat.

Ayat 63

وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما ءَاتَينَـٰكُم بِقُوَّةٍ وَاذكُروا ما فيهِ لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): “Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.

  1. Allah menggunakan perkataan مِيثَاقَ dalam ayat ini iaitu perkataan yang sama digunakan dalam Taurat supaya Bani Israil pada zaman Rasulullah saw tiada alasan untuk mengatakan bawaha perjanjian nenek moyang mereka pada zaman Nabi Musa as adalah perkara yang berlainan. Mereka sangat mengetahui apa yang berlaku pada nenek moyang mereka kerana mereka sangat berbangga dengan sejarah bangsa mereka.

  2. Perjanjian yang dimaksudkan ialah perjanjian untuk berpegang kepada kitab yang diutuskan kepada mereka iaitu Taurat melalui Nabi Musa as. Bani Israil bangsa istimewa kerana diberikan kitab sebagaimana kita juga diberikan kitab Al-Quran yang diutuskan melalui Nabi Muhammad saw. Ia merupakan satu tanggung jawab yang berat iaitu kewajipan untuk berpegang kepada kitab Al-Quran walaupun ramai yang menyelisihinya.

  3. Walaupun mereka telah diberikan kitab mereka menolak sebahagian hukum yang ada di dalamnya kerana berat pada pemikiran dan nafsu mereka. Oleh itu Allah telah mengangkat Bukit Tursina untuk menghempap mereka dengan bukit itu sebagai ancaman kepada mereka. Kisah diangkatnya Bukit Tursina ini juga dinyatakan pada Al-A'raf 171 dan Al-Baqarah 93.

  4. Setelah diancam dengan hempapan Bukit Tursina, Bani Israil pun insaf dan mengikat perjanjian iaitu untuk berpegang erat kepada kitab Taurat dengan beramal dengannya bersungguh-sungguh. Cara untuk beramal bersungguh-sungguh ialah dengan belajar isi kandungan kitab dan tidak cukup hanya membacanya sahaja tanpa memahami dan beramal dengannya berdasarkan ilmu. Ilmu dari kitab Allah sudah pasti membawa kepada ketakwaan.

Ayat 64

ثُمَّ تَوَلَّيۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ ذَٰلِكَۖ فَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ وَرَحۡمَتُهُۥ لَكُنتُم مِّنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ

Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi.

  1. Setelah Allah mengancam Bani Israil dengan ancaman hempapan Bukit Tursina ke atas mereka, mereka pun akur untuk kembali beriman dan beramal dengan ajaran dalam kitab Taurat. Namun lama-kelamaan kepatuhan dan keakuran mereka itu terhakis sedikit demi sedikit. Rupanya mereka insaf hanya kerana takut dan bukan kerana ikhlas. Untuk berpegang kepada ajaran dalam kitab Allah seseorang perlu mengikhlaskan dirinya.

  2. Allah telah beri mereka keistimewaan dengan tidak menimpakan azab ke atas mereka secara terus. Ada sahaja bangsa lain yang Allah azab mereka secara terus bahkan sehingga lenyap seluruh bangsa itu. Itulah yang terjadi kepada bangsa Aad dan Tsamud, mereka diazab sehingga hapus kesemua mereka. Semua itu adalah kerana rahmat Allah ke atas Bani Israil, mereka kekal hidup sehingga kini dan masih ada peluang untuk bertaubat dari dosa mereka dengan memeluk Islam.

  3. Sekiranya Bani Israil tidak mengambil peluang bertaubat dan kembali kepada kitab yang benar iaitu Al-Quran, mereka akan menjadi golongan yang rugi. Sebenarnya bukan Bani Israil sahaja yang rugi, siapa sahaja yang diberi peluang hidup tetapi tidak beriman dengan Al-Quran, semuanya tergolong dalam golongan yang rugi. Al-Quran ialah satu-satunya kitab yang kekal terpelihara kebenarannya.

  4. Golongan yang rugi ini dinisbahkan kepada semua manusia kecuali 4 kelompok; 1. Yang beriman, 2. Yang beramal soleh, 3. Yang berpesan dengan kebenaran, 4. Yang berpesan dengan kesabaran. Empat kelompok ini dinyatakan di dalam surah Al-'Asr. Jika seseorang itu masih belum melaksanakan empat perkara ini bermakna seseorang itu masih belum selamat dari tergolong dalam kalangan orang yang rugi di Akhirat nanti.

Ayat 65

وَلَقَد عَلِمتُمُ الَّذينَ اعتَدَوا مِنكُم فِي السَّبتِ فَقُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خٰسِئينَ

Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.

  1. Ayat ini menceritakan perihal sebahagian nelayan dari Bani Israil yang cuba menipu Allah. Nelayan di suatu tempat mendapati ikan banyak pada hari Sabtu sedangkan hari Sabtu ialah hari larangan dari melakukan apa-apa aktiviti. Hari Sabtu dikhususkan untuk beribadat sahaja. Sabtu atau Sabbath bermaksud rehat, tidak aktif, berhenti. Penentuah hari bagi mereka ada kaitan dengan penciptaan langit dan bumi selama 6 hari, justeru hari ke 7 adalah hari rehat.

  2. Asalnya penghulu bagi hari adalah hari Jumaat untuk umat sebelum Nabi Muhammad saw namun mereka berselisih dan meminta ubah, jadilah hari mulia bagi Yahudi pada hari Sabtu dan hari mulia Nasrani pada hari Ahad. Manakala bagi agama Islam hari mulia kekal mengikut wahyu iaitu pada hari Ahad. Penentuan hari yang dimuliakan dalam agama perlu berpandukan kepada wahyu , bukan berdasarkan akal contohnya dengan meraikan hari jadi nabi saw.

  3. Bezanya dalam Islam di hari Jumaat walaupun ada solat Jumaat, kita masih lagi boleh melakukan aktiviti harian seperti bekerja, dalam syariat Nabi Musa as mereka langsung tidak boleh buat apa-apa kerja. Disebebkan mereka tidak boleh menangkap ikan pada hari Sabtu, sebahagian mereka memasang perangkap ikan pada hari Jumaat dan mengambil ikan pada hari Ahad. Perbuatan ini adalah satu kekufuran kerana cuba mencari helah dalam mematuhi perintah agama.

  4. Disebabkan perbuatan Bani Israil yang membuat helah dalam mematuhi larangan Allah, sebahagian mereka telah diubah menjadi kera yang hina. Terdapat beberapa pendapat bagi kisah ini ada yang mengatakan mereka betul-betul menjadi kera, ada juga pendapat mengatakan hanya hati mereka atau hanya perangai mereka sahaja menjadi seperti kera. Yang lebih tepat ialah mereka yang ingkar tetap diubah menjadi kera (ada pendapat sebagian menjadi babi).

  5. Mereka yang bertukar menjadi kera ini hidup hanya 3 hari kemudian mati. Ada 3 kumpulan manusia dalam kisah ini iaitu; 1. Yang melanggar arahan, 2. Yang menegur mereka, 3. Yang tidak menegur pelanggar arahan tetapi menegur kumpulan yang menegur kesalahan. Kumpulan yang ketiga juga dilaknat seperti dalam Surah Al-Maidah 78-79. Kumpulan kedua ddiselamatkan dari azab seperti dalam Surah A'raf 174.

Ayat 66

فَجَعَلنٰها نَكٰلًا لِّما بَينَ يَدَيها وَما خَلفَها وَمَوعِظَةً لِّلمُتَّقينَ

Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

  1. Sebagaian dari nelayan Bani Israil yang ingkar dengan cuba membuat helah atas perintah Allah telah ditukarkan fizikal mereka menjadi kera. Hukuman ini adalah sebagai pengajaran kepada sebahagian yang lain pada masa itu. Ancaman dan pembalasan sebegini sepatutnya menjauhkan diri seseorang dari melakukan dosa dan kesalahan yang sama.

  2. Pengajaran paling utama ialah orang yang rapat atau mengenali secara langsung pelaku kemungkaran itu terutamanya mereka yang elihat sendiri peristiwa ini berlaku dalam kalangan Bani Israil. Peristiwa ini juga adalah pengajaran buat Bani Israil atau Yahudi terkemudian seperti yang hidup di zaman Nabi Muhammad saw hinggalah kepada Yahudi di zaman sekarang ini.

  3. Selain itu kita (orang Islam) juga mengambil pengajaran dalam kisah ini, semua kisah dalam Al-Quran adalah untuk kita ambil pengajaran darinya. Orang-orang yang bukan Islam tetapi mengkaji Al-Quran juga mengambil pengajaran darinya. Perbuatan mencari helah dalam beribadah adalah perbuatan yang kufur. Apabila kita dilarang minum arak yang memabukkan jangan pula kita cari benda lain selain arak yang turut boleh memabukkan. Hanya yang bertaqwa sahaja yang mengambil pengajaran.

Ayat 67

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأمُرُكُم أَن تَذبَحوا بَقَرَةً ۖ قالوا أَتَتَّخِذُنا هُزُوًا ۖ قالَ أَعوذُ بِاللَّهِ أَن أَكونَ مِنَ الجٰهِلينَ

Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina”. Mereka berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?” Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.

  1. Dari kisah penting ini diambil nama Baqarah sebagai tajuk surah ini. walaupun kisahnya sedikit sahaja tetapi ianya penting. Nabi Musa as memerintahkan kaumnya supaya menyembelih lembu atas perintah Allah. Kisah ini ada kaitan dengan kisah sebelum ini di mana Bani Israil menyembah patung anak lembu dari emas yang dibuat oleh Samiri. Walaupun telah dibetulkan, namun mereka masih rasa hormat pada lembu dan menganggapnya mulia.

  2. Reaksi Bani Israil setelah disuruh menyembelih lembu ialah mereka menuduh Nabi Musa sengaja mahu jadikan mereka bahan ejekan. Mereka anggap arahan ini bukan arahan Allah, sedangkan ahli agama dilarang berolok dalam hal agama. Ahli agama yang berolok dalam urusan agama adalah termasuk dalam kejahilan, Nabi Musa minta berlindung dari Allah atas sikap buruk ini.

  3. Bukan Bani Israil sahaja yang memuliakan lembu, ada banyak kepercayaan berkaitan lembu. Ada yang memualikannya, menganggapnya simbol rezeki. Pengajaran kepada umat Muhammad saw supaya meninggalkan kepercayaan keramat, menghormati sesuatu yang tidak sepatutnya malah mengadakan majlis tertentu seperti memuja keris, senjata lama, pakaian lama, cincin. Ada golongan yang menganggap barang-barang ini mulia, berkuasa dan berpenunggu.

Ayat 68

قالُوا ادعُ لَنا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنا ما هِيَ ۚ قالَ إِنَّهُ يَقولُ إِنَّها بَقَرَةٌ لّا فارِضٌ وَلا بِكرٌ عَوانٌ بَينَ ذٰلِكَ ۖ فَافعَلوا ما تُؤمَرونَ

Mereka berkata pula: “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya”.

  1. Walaupun ada ketikanya Bani Israil beriman kepada Allah tetapi pada masa tertentu mereka susah menerima arahan dari Allah, mudah sahaja arahan asal supaya menyembelih lembu betina tetapi mereka mahu diperincikan pula lembu yang bagaimana. Mereka menyuruh Nabi Musa as bertanya kepada tuhan kamu, sepatutnya tuhan kita jika mereka beriman sepenuhnya.

  2. Di dalam beragama tiada masalah untuk bertanya setelah belajar, tidak boleh bertanya sewenngnya tanpa belajar terlebih dahulu. Dalam ayat ini Bani Israil bukan bertanya kerana ikhlas ingin tahu, sebenarnya mereka bertanya kerana tidak mahu melaksanakan apa yang diperintahkan Allah, mereka masih menganggap lembu sebagai suatu yang keramat, terhormat dan mulia.

  3. Setelah Nabi Musa as bertanya kepada Allah, Allah berfirman, lembu betina itu mestilah tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda maksudnya lembu betina yang umurnya dipertengahan. Ini menyusahkan diri mereka sahaja, hanya yang ahli sahaja dapat menentukan lembu betina mana yang dipertengahan umur. Dalam agama, Allah telah mudahkan banyak perkara tetapi ada sahaja yang mencari jalan yang susah dalam beribadah.

Ayat 69

قالُوا ادعُ لَنا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنا ما لَونُها ۚ قالَ إِنَّهُ يَقولُ إِنَّها بَقَرَةٌ صَفراءُ فاقِعٌ لَونُها تَسُرُّ النّٰظِرينَ

Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya”.

  1. Bani Israil tidak puas hati dengan arahan untuk menyembelih lembu yang pertengahan umurnya, sekarang mereka bertanya lagi kepada tuhan Nabi Musa as. Walaupun mereka menyembah tuhan yang sama tetapi apabila menerima arahan yang tidak sesuai dengan nafsu mereka mereka gelar "tuhan kamu". Mereka mahu tahu warna apa pula, sebenarnya mereka hanya beralas-alasan.

  2. Allah menjawab kepada Nabi Musa setelah Nabi Musa bertanya kepada Allah di Bukit Thur warnanya adalah warna kuning keemasan. Warnanya lembu sebegini susah untuk dicari, elok-elok arahan awal yang tak tetapkan cirinya sekarang mereka menjadi susah akibatnya. Warnanya adalah warna yang disukai orang yang melihatnya, nah satu lagi syarat. Kuningnya mesti kuning yang disukai Bani Israil.

  3. Larangan bertanya perkara yang tidak sepatutnya ini ada disebut dalam Surah Al-Ma'idah 101-102. “Apa yang aku larang hendaklah kamu jauhinya dan apa yang aku perintahkan maka hendaklah kamu laksanakan sedaya upaya kamu. Sesungguhnya kehancuran orang-orang sebelum kamu adalah kerana banyaknya pertanyaan mereka (yang tidak berfaedah) dan penentangan mereka terhadap Nabi-nabi mereka.” Riwayat al-Bukhari (6777) dan Muslim (1337).

Ayat 70

قالُوا ادعُ لَنا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنا ما هِيَ إِنَّ البَقَرَ تَشٰبَهَ عَلَينا وَإِنّا إِن شاءَ اللَّهُ لَمُهتَدونَ

Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)”.

  1. Sekali lagi Bani Israil minta Nabi Musa as bertanya kepada tuhan Nabi Musa, padahal tuhan mereka adalah sama. Mereka mula sedar yang bahawasanya apabila banyak tanya semakin susah mereka nak mencari lembu yang perlu disembelih itu. Mereka pun mencari dan memilih lembu yang sesuai dengan syarat yang ditetapkan. Bagaimana pun mereka sendiri tidak yakin dengan pilihan mereka, jadi mereka mahukan jawapan terus.

  2. Berbeza dengan orang mukmin, apabila disuruh oleh Allah dan rasul mereka menuruti sahaja arahan itu tanpa bertanya dengan pertanyaan seperti kenapa perlu solat, puasa, haji, kenapa perlu ikut sunnah, kenapa perlu tinggal bid'ah seperti dalam surah Nur 51: Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan. “Kami mendengar, dan kami patuh”. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

  3. Jika sebelum ini seperti mereka tidak hormat kepada Allah kerana menggelarnya tuhan Musa tetapi mereka guna perkataan insyaAllah dalam berjanji. Hakikatnya tiada tuhan lain yang boleh menyelesaikan masalah mereka melainkan Allah juga, bila ada masalah baru mereka kembali kepada Allah. Dalam perancangan hidup kita perlu sentiasa ucapkan insyaAllah sebagai komitmen dan meletakkan kefahaman semuanya atas qada dan qadar Allah.

Ayat 71

قالَ إِنَّهُ يَقولُ إِنَّها بَقَرَةٌ لّا ذَلولٌ تُثيرُ الأَرضَ وَلا تَسقِي الحَرثَ مُسَلَّمَةٌ لّا شِيَةَ فيها ۚ قالُوا ٱلـَٔـٰنَ جِئتَ بِالحَقِّ ۚ فَذَبَحوها وَما كادوا يَفعَلونَ

Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya”. Mereka berkata: “Sekarang barulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar”. Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.

  1. Nabi Musa as menerangkan kepada kaum Bani Israil tentang 4 sifat lembu itu iaitu; 1. Lembu itu yang tidak pernah membajak tanah, 2. Lembu itu tidak pernah mengangkut air, 3. Lembu itu tidak cacat, 4. Lembu itu tiada belang pada warnanya. Lembu ini istimewa, ia tidak seperti lembu lain yang digunakan untuk membantu kehidupan manusia. Warna kuning lembu ini meliputi keseluruhan badannya tanpa ada belang dengan warna lain. Inilah lembu yang perlu disembelih.

  2. Setelah berdolak dalih dalam memenuhi arahan Allah akhirnya mereka dapat menemui lembu yang memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan, asalnya mudah sahaja Arahan Allah tetapi sikap mereka yang cuba mengingkari arahan menyusahkan hidup mereka sendiri. Dikatakan mereka terpaksa membeli lembu itu dengan harga yang mahal dari seorang anak muda. Akhirnya Bani Israil pun menyembelih lembu walaupun hampir sahaja mereka tidak dapat melaksanakan arahan Allah itu.

  3. Bani Israil dikatakan hampir tidak dapat penuhi arahan menyembelih lembu kerana; 1. Mereka masih anggap lembu sebagai objek yang mulia, 2. Terlalu susah untuk mencari lembu yang tepat walaupun arahan awalnya mudah sahaja, 3. Mereka hampir tidak berjaya membeli lembu itu kerana harganya cukup mahal, 4. Mereka takut rahsia sikap buruk mereka kepada Nabi musa as akan terbongkar.

Selesai ruku' 8 dari 40 ruku' Surah Al-Baqarah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan