Assalamualaikum dan selamat pagi Jumaat. Sambung siri catatan travelog Balkan 2025 pagi ini. Selesai di Zagreb kemi meneruskan perjalanan untuk bermalam di Bihac, Bosnia. Sungguh teruja rasanya untuk menjejakkan kaki di bumi Bosnia. Siapa yang pernah melewati zaman 90an pasti akan ingat peristiwa peperangan di Balkan yang melibatkan tiga negara utama iaitu Serbia, Bosnia dan Croatia. Lebih dari 50% rakyat Bosnia adalah beragama Islam. Pasca peperangan Malaysia pada ketika tu membantu dengan menghantar tentera pengaman di bawah United Nation.
Kami bermalam di Hotel Rekic, di bilik hotel ini ada sofa bed, jadi dapatlah kami tidur dengan selesa. Apapun ada masalah juga pada pintu bilik, dah puas dicuba tetapi pintunya tak boleh dikunci. Disebabkan malas nak tukar bilik kami stay sahaja dengan menyendal pintu dengan beg besar semasa tidur. Paginya kami bersarapan mana yang meyakinkan sahaja kerana tiada jaminan halal walaupun dah berada di Bosnia. Walaupun ramai yang Islam namun ia bukanlah seperti di Malaysia, ada pihak berkuasa yang memantau status halal hotel-hotel.
Setelah itu kami meneruskan perjalanan ke Jacje. Di sini kami singgah di sebuah tasik yang ada kesan peninggalan kincir air lama Mlinčići. Terdapat berpuluh kincir air dibina mengisar hasil tanaman sekitar 400 tahun dahulu. Kincir air ini dibina sekali dengan rumah kecil, dengan jambatan kayu yang menghubungkan antara setiap kincir air. Walaupun ia dibina di atas tasik, air yang melalui bawah kincir deras juga. Mungkin terdapat takung besar tasik di atas dan dilepaskan air masuk ke bawah dan melalui kincir air ini. Rumah-rumah kecil ini dilihat seperti tempat tinggal orang kerdil (seperti hobbit). Sangat mendamaikan apabila dapat berjalan sekitar tasik, melihat itik berenang di air dan menaiki jambatan kayu yang menghubungi antara tiap rumah kincir (hati-hati kerana ada tempat yang licin). Boleh lihat gambarnya di bawah pada gambar ke 2 hingga ke 4.
Begitu ralit ahli rombongan mengambil gambar di sini sampaikan tour guide terpaksa menjerit-jerit memanggil supaya dapat kami meneruskan perjalanan. Mungkin ada yang teringin nak tinggal di sini agaknya. Kami menelusuri kawasan berbukit menuju ibu negara Bosnia iaitu Sarajevo. Dalam perjalanan kami dapat lihat banyak kampung-kampung di sepanjang perjalanan, diceritakan kebanyakan rumah-rumah ini tiada penghuni kerana ramai orang muda mingrate ke negara Eropah lain yang lebih maju untuk bekerja. Berkemungkinan juga rumah-rumah itu hanya sebagai rumah singgah yang dibeli orang-orang kaya untuk tujuan travel.
Dalam perjalanan ke Sarajevo kami singgah di Masjid Malaysia. Ini adalah satu kejutan yang tidak diberitahu dahulu oleh tour guide. Macam tak percaya ada masjid yang diberi nama Džamija Malezija (Masjid Malaysia) di sini. Disebabkan perut dah lapar eloklah kita makan dahulu sebab dah nampak Cafe Malaysia pula di tepi masjid ini. Kami dihidangkan dengan starter sup telur macam ada campur maggi yang hancur halus. Memang kegemaran akulah sup-sup ini, kemudian main dishnya adalah roti dengan daging mince di dalamnya, terus terlintas roti murtabak huhuhu. Rasanya seakan murtabak cuma lebih keras dan kering. Kemudian kami masuk ke masjid untuk solat jamak dan qasar. Lega dapat ke toilet yang ada air dan percuma. Masjidnya luas dan selesa, diluarnya ada plak yang tertera nama Dr Mahathir. Bangga jugalah kerana ada bukti jelas sumbangan rakyat dan kerajaan Malaysia dalam membantu Bosnia.
Panjang pula jadi catatan ini, akhirnya sampai juga kami ke Sarajevo. Sebelum tiba di Sarajevo ketika melalui jalan yang ada apartment di kiri kanan jelas masih ada kesan peperangan yang tidak dibaiki. Kesan peluru pada dinding bangunan masih ada kelihatan. Sambil-sambil tu tour guide mendendangkan satu lagu tempatan. Sedap juga suaranya. Sarajevo sebenarnya bukanlah satu bandar yang maju sangat, pada tahun 1984 Sarajevo terpilih untuk menganjurkan sukan Winter Olympic. Disebabkan hotel tidak mencukupi rakyat Sarajevo bersedia menumpangkan pengunjung di rumah mereka, sehingga kini mereka sangat berbangga dengan penganjuran itu sampaikan pada fridge magnet atau key-chain cenderamata masih boleh didapati maskot Winter Olympic 1984 dijual.
Pusat bandar Sarajevo yang menjadi tumpuan pelancong agak unik kerana bandarnya seperti terpecah kepada dua, satu bahagian adalah bandar lama dan sebelah lagi bandar baru dan moden. Bangunannya berbeza binaan dan ada batas antaranya. Kami diterangkan tentang di mana hotel pertama di Sarajevo, diceritakan penghuni dilayan seperti tetamu selama 3 hari tanpa perlu membayar hotel dan makan. Sarajevo menjadi tempat persinggahan yang menghubungkan laluan keretapi dari Eropah dan Asia (Turki). Lama kami mundar mandir di Sarajevo, sempat juga solat Maghrib dan Isya di sebuah masjid lama sayangnya tak boleh masuk ke dalam hanya solat di bahagian luar dalam kesejukan. Kami makan malam di sebuah restoran yang menyesiakan daging hancur yang dikepal kemudian dibakar. Macam biasa aku makan sampai habis sedangkan ramai juga yang tak berjaya menghabiskan makanan.
 |
Kebiasaan menu pagi di hotel, tak meriah macam hotel di Malaysia huhu. |
 |
Berpuluh Kincir Air Mlinčići menimbulkan perbagai tanda tanya bagi tak tidak mengetahui kisahnya. |
 |
Bergambar di sebuah jambatan yang merentangi laluan tasik. |
 |
Sudahlah sejuk pergi tempat begini bertambahlah sejuknya. |
 |
Cafe Malaysia yang terletak di Turbe. |
 |
Ada nampak matahari sikit berbanding dua hari sebelumnya. |
 |
Masjid yang cukup indah, mereka sangat mengalu-alukan orang Malaysia untuk ke sini.
|
 |
Plak yang terdapat pada menara masjid. |
 |
Kota Sarajevo di waktu malam, ramai pelancong dari pelbagai tempat. |
 |
Antara monumen yang iconic di Sarajevo. |
 |
Masjid yang dibina ketika pemerintahan Uthmaniyah, ada 3 masjid yang letaknya tidak jauh antara satu sama lain di pusat bandar Sarajevo. |
 |
Menu makan malam, bila sampai sahaja menu ada yang minta sos cili :P. Nasinya sejemput sahaja, ialah mungkin nasi mahal kat sana. |
Berhenti dahulu di sini sebelum insyaAllah sambung lagi pengembaraan Balkan 2025 di bumi Bosnia & Herzegovina.
besar tengok roti pita dia..puas hati juga nie
BalasPadamCantiiiiik negara ini. Saya pastinya masih ingat perang Bosnia dan Serbia dulu. Sedih tiap baca koran. Selalu ada berita ttg itu, tp yg ngeri nya Krn membaca cerita korban sebagian besar anak2. Tak tega sangaaat . Alhamdulillah perang ini bisa selesai juga.
BalasPadamKalo bosnia saya blm datangi, tp Serbia sudah. Waktu itupun sebenernya tak teringin kesana. Krn saya ingat perang mereka yg membantai banyak muslim dulu. Tp karena papa mertua saya diplomat di Bulgaria, dan papa yg ajak kami ke Serbia secara dekat sangat dengan Bulgaria, akhirnya saya pergi juga. Dan di sanapun ada banyak bangunan yg hancur dan dibiarkan akibat perang.
Mungkin sebagai pengingat seperti apa perang mereka dulu.
Baguus nya ada mesjid Malaysia di sana. Nanti kalo saya ke bosnia, pasti nak juga sholat di sana