Khamis, Februari 27, 2025

Travelog Monumen Semulajadi Vrelo Bosne, Terowong Sarajevo, Kota Mostar Dan Dicopet di Blagaj (Bosnia Herzegovina)

Assalamualaikum dan selamat pagi. Ada perkara yang kurang baik berlaku dalam catatan kali ini jadi sila cekalkan diri untuk membaca perkongsian ini hingga habis kerana ia berada di hujung catatan. Catatan kali ini agak panjang sedikit kerana ia meliputi 4 tempat persinggahan. Catatan ini adalah sebahagian dari catatan travelog Balkan 2025. Kami memulakan perjalanan dari hotel di Sarajevo seawal pagi menuju ke Mostar iaitu sebuah bandar lama di Herzegovina. Dalam perjalanan kami singgah di dua tempat persinggahan, untuk trip ini boleh dikatakan semua tempat yang kami singgah adalah destinasi utama yang dilawati pelancong, bukan itu sahaja kebanyakan telah digazet sebagai UNESCO World Heritage Center

Destinasi pertama yang kami lawati ialah Vrelo Bosne. Tempat ini telah digazetkan sebagai nature monument. Saya kira macam Taman Negara juga, bila dah digazetkan  tak boleh digunakan tanahnya untuk pembangunan lagi. Cuma yang kami lawati ini betul-betul terjaga kesemulajadiannya. Melawat kawasan Vrelo Bosne ini di waktu pagi memang menenangkan hati, setelah banyak menghabis masa di bandar kali ini ke kawasan hutan pula, banyak pokok maple di sini, usianya mencecah hingga 100 tahun. Kami disambut dengan sebuah tasik yang sangat jernih airnya, dari mata kasar kita boleh nampak dasar sungai yang berpasir, berbatu dan berlumut hijau. Di atasnya itik-itik berenang dengan bebas tanpa rasa takut dengan kehadiran kami. Dan di antara tasik ini ada pula sungai-sungai yang menghubunginya menjadikan lanskap di sini sangat cantik. Burung-burung berkicauan di antara bunyi air menjadi suasana seakan berhenti seketika. Di sini kami sempat merakam gambar di satu spot dengan harga 5 Euro, gambar dicetak terus oleh seorang jurugambar tua. 

Destinasi kedua yang kami lawati sekitar Sarajevo ialah Tunnel of Hope. Tidak cukup rasanya jika di Bosnia kita tidak melawat tempat sejarah peninggalan perang. Kerana kerakusan satu pihak ratusan ribu rakyat Bosnia di bunuh, perempuannya dirogol di hadapan suaminya, itulah kisah yang kita dengar. Sebelum peperangan negara-negara Balkan dari segi sosialnya saling berhubung rapat, banyak perkahwinan di antara rakyat negara Balkan, ialah mereka asalnya satu negara Yugoslavia, kebanyakan mereka faham bahasa antara mereka iaitu bahasa Slavic. Ketika kebanyakan tempat di Bosnia telah di kuasai dan Sarajevo telah di kepung, terowong ini menjadi laluan harapan antara lapangan terbang Sarajevo dengan bandar Sarajevo. Lapangan terbang Sarajevo ketika itu dikuasai United Nation dan melalui terowong inilah makanan, ubat-ubatan dan laluan pergerakan dapat disalurkan ke Sarajevo yang dikepung. Di dalamnya ada landasan kecil untuk memudahkan dan mempercepatkan saluran bantuan. 

Dalam perjalanan ke Mostar kami singgah untuk makan tengah hari di sebuah restoran di tepi tasik. ketika turun dari bas, kami dah tercium bau kambing dan rupanya menu tengah hari ini ialah kambing bakar. Sungguh teruja dapat makan kambing bakar, cuma rasanya agak plain dan tekstur dagingnya agak kasar. Nasib baik ada sos cili dan ada membawa sendiri mayonis. Dapatlah mengurangkan rasa loya makan daring kambing bakar yang kosong tanpa rempah. Lanjut dari itu kami meneruskan perjalanan ke bandar Mostar dan akhirnya kami pun sampai. Paling ikonik di Mostar ialah jambatan Stari Most, jambatan ini dibina pada kurun ke 16 oleh kerajaan Uthmaniyah merentangi sungai Neretva. Jambatan ini runtuh ketika perang Bosnia, berbanding Sarajevo yang cuba dikuasai Serbia, Mostar pula cuba dikuasai pihak Croatia. Begitulah sejarahnya, apa pun bagi kami yang melawati dan melewati jambatan ini, yang paling kami tak boleh lupa ialah lantainya yang dibuat dari batu-batu sungai yang agak besar, lengkungan jambatan ini agak tinggi juga dan untuk melangkah memang licin dan tak rata. Nak sampai ke hujungnya pun susah, nak bergambar pun kena hati-hati silap-silap phonenya akan terjun ke dalam sungai. Oh ya, jambatan ini juga terkenal sebagai tempat aktiviti terjun. Akan ada masa-masa yang mereka buat aktiviti terjun untuk mencabar keberanian diri. Waktu winter tak pula ada yang nak terjun. Selesai di jambatan kami berkumpul di sebuah masjid lama, masjid ini ada bayaran untuk masuk tetapi untuk solat adalah percuma. Beruntunglah orang-orang yang solat. Masjid ini juga dibina di zaman Uthmaniyah, nampak jelas ciri-cirinya. 

Okay, sekarang baru sampai ke catatan tempat yang akan paling diingati sepanjang perjalanan. Selesai di bandar Mostar kami ke satu tempat di Blagaj (sebutannya Blagai). Kami dibawa ke sebuah tempat berkumpulnya orang sufi atau sekarang biasa disebut tarikat. Untuk sampai ke tempat itu kami perlu berjalan sedikit mendaki, dah di laluan itu ada pengawal yang menjaganya. Walaupun ada pengawal jangan sangka orang jahat ini takut, mereka lebih pakar dalam melakukan kerja mereka. Ketika aku dan isteri berjalan beriringan, di hadapan dan di belakang ada kumpulan rombongan kami. Entah macam mana di hadapan kami ada dua orang perempuan sedang berjalan dan kemudian berhenti untuk mengambil gambar di satu tempat. Kemudian mereka masuk semula berjalan di belakang kami. Entah macam mana salah seorang darinya dapat ambil purse wife sedangkan handbag sentiasa diletakkan ke hadapan. Memang dia dan dapat ambil dan entah macam mana isteri terperasan dan terus pusing belakang minta balik purse itu dengan dua orang perempuan itu. Mereka terus panik dan buat-buat kata purse itu terjatuh. Sempat wife check sama ada mereka ada ambil duit atau tidak, dan mereka memang tak sempat buat apa lagi. Syukur betul cuma cukup traumalah masa tu. Tak nak panjangkan cerita kami terus tinggalkan mereka. Setelah berkumpul berdekatan tempat sufi itu kami pun ceritakan pada ahli rombongan lain, dan guide kami minta kami sentiasa hati-hati dan menunjukkan walletnya yang sentiasa berantai untuk keselamatan. Mulanya kami tak berapa faham tentang tempat ini. Dalam perjalanan ada terperasan simbol Hu, Hu, Hu, lantas aku teringat tentang memang ada amalan tarikat zikir Hu Hu Hu. Pernah jadi isu juga di negara kita di mana ada ustaz yang memboleh zikir Hu Hu Hu walaupun Rasullullah saw tidak pernah mengajarkannya. Setelah dicari infonya di tempat sebegini biasanya di panggil dengan khanaqah, zawiya, atau takiya bergantung kepada zaman dan jenis tarikat. Dalam bahasa inggeris dipanggil shrine atau lodge. Ia menjadi tempat berkumpul orang tarikat untuk beribadah kerana ada kubur yang mereka anggap mulia. Hakikatnya tiada kubur yang boleh dianggap mulia kecuali kemuliaan itu disebut dalam Al-Quran atau hadits. Di situ ada dua jasad yang ditinggalkan di sebuah bilik, terdapat bilik-bilik lain dan ada satu ruang seperti tempat bertafakur. Untuk info lanjut boleh baca pada pautan ini berkenaan tempat ini tetapi jangan sampai terpengaruh pula. Cukuplah kita berpegang dengan apa yang dicontohkan oleh Rasulullah saw. Tak perlu meninggalkan kehidupan dunia, mensucikan hati dengan bertapa dan berzikir dengan lafaz zikir yang tidak diajarkan oleh Nabi. Ada tarikat tertentu yang menyimpang apabila sampai ke marifat tertentu bermakna dia dan bersebati dengan tuhan dan tak perlu lagi beribadah seperti orang biasa. Apapun, sekitar tempat ini sangat cantik, sungai yang mengalir warnanya biru turquoise namun ini semua tak mampu meredakan lagi trauma dicopet.     


Sungai di Vrelo Bosne yang mengalir sejuk.

Jambatan kayu yang merestasi tasik. Kami sempat diganggu seekor anjing yang besar.

Sungguh tenang melihat itik dan angsa berenang di kolam, kerana jernihnya kita boleh nampak pantulan angsa dan juga nampak tumbukan di dalam kolam. Menakjubkan.

Kami antara yang akhir meninggalkan tempat ini, kecantikannya memukau pandangan.

Suasana dalam tunnel of Hope, Sarajevo.

Ada yang takut untuk masuk ke dalam ini.

Bangunan tempat masuk ke terowong, terdapat kesan berlubang akibat tembakan.

Makan tengah hari yang istimewa iaitu kambing bakar, cukup mewah makan untuk trip ini.

Permandangan sungai yang menghijau airnya di Mostar. Dari jauh kelihatan jambatan kedua yang dibina ketika jambatan asal runtuh akibat dibom.

Boleh turun ke bawah ke gigi sungai untuk mengambil gambar jambatan Mostar dari bawah.

Sebuah masjid lama di Mostar. Sempat mengambil wuduk di luar masjid ni dan air nya fuh sejuk betul. Menggigil dibuatnya.

Ruangan dalam tempat ibadah sufi.

Tempat ini jadi tarikan kerana adanya sumber air lalu mereka gunakan ayat dari surah Al-Anbia 30 untuk jadikan tempat ini lebih istimewa pada mereka. 

Tempatnya sangat cantik.


Sekian dahulu untuk catatan kali ini di bumi Bosnia & Herzegovina. Bersambung ke negara-negara lain seterusnya.

1 ulasan: