Khamis, Mac 20, 2025

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 10/40 (Ayat 83-86)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 10/40 (Ayat 83-86)

Ayat 83

وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَ بَني إِسرٰءِيلَ لا تَعبُدونَ إِلَّا اللَّهَ وَبِٱلوٰلِدَينِ إِحسانًا وَذِي القُربىٰ وَٱليَتَـٰمَىٰ وَٱلمَسَـٰڪِينِ وَقولوا لِلنّاسِ حُسنًا وَأَقيمُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَآتُوا ٱلزَّڪَوٰةَ ثُمَّ تَوَلَّيتُم إِلّا قَليلًا مِّنكُم وَأَنتُم مُّعرِضونَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.

  1. Allah menyenaraikan perjanjian setia dengan dengan Bani Israil iaitu; 1. Tidak menyembah selain Allah, 2. Berbuat baik dengan kedua orang tua, kerabat, anak yatim dan orang miskin, 3. Bercakap perkara yang baik sahaja, 4. Dirikan Solat, 5. tunaikan Zakat. Seruan utama yang dibawa oleh mana-mana nabi sama sahaja iaitu seruan untuk mentauhidkan Allah. Tiada tuhan kedua, ketiga atau tuhan-tuhan sampingan selain Allah.

  2. Lima perkara inilah perjanjian setia Bani Israil, jika dilihat sama sahaja tuntutan kepada mereka dengan apa yang Allah tuntut kepada orang Islam. Walaupun syariat atau tatacara beribadahnya berlainan tetapi intipatinya sama kerana semuanya dari Allah dan Allah betul-betul mahu semua manusia mengikuti tuntutan ini. Ajaran-ajaran ini menjaga 2 jenis hubungan; 1. Hubungan dengan Allah, 2. Hubungan sesama manusia.

  3. Berbuat baik kepada dua ibu bapa bukan hanya kerana mereka menjaga, mengeluarkan duit untuk kita, buat baik dengan kita maka kita kena balas jasa dengan buat baik kepada mereka. Ini adalah arahan Allah walau apapun sejarah kita dengan ibu bapa kita, walaupun ada ibu bapanya jahat, tidak beriman kepada Allah, tidak bertanggungjawab tetapi tetap sahaja Allah perintahkan untuk berbuat baik kepada mereka.

  4. Disebutkan aturan ibu bapa kemudian kerabat menunjukkan kita perlu jaga hubungan dengan orang dekat dahulu, untuk bersedekah utamakan kepada yang dekat dahulu. kemudian baru berbuat baik kepada anak yatim dan orang miskin yang bukan dari keluarga kita. Bani Israil juga diperintahkan solat dan membayar zakat cuma syariat bagi mereka berbeza. Ada yang mengatakan solat mereka tiada rukuk.

  5. Bani Israil juga diperintahkan zakat, tetapi mereka tinggalkannya. Dalam masyarakat kita pun ada yang meninggalkan zakat. Atau hanya bayar zakat tertentu, contohnya mungkin ada yang hanya bayar zakat fitrah supaya puasanya sempurna atau sebab hendak raya. hakikatnya ada zakat lain yang perlu juga ditunaikan seperti zakat pendapatan, simpanan, zakat pertanian, penternakan, emas, perak dan lain-lain.

Ayat 84

وَإِذ أَخَذنا ميثٰقَكُم لا تَسفِكونَ دِماءَكُم وَلا تُخرِجونَ أَنفُسَكُم مِن دِيَـٰرِكُم ثُمَّ أَقرَرتُم وَأَنتُم تَشهَدونَ

Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: “(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing”. Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).

  1. Dalam ayat sebelum ini dinyatakan perkara yang Bani Israil perlu lakukan dalam perjanjian mereka, ayat ini punya menyatakan perkara yang perlu mereka tinggalkan. Perkara pertama yang perlu mereka tinggalkan ialah bunuh membunuh sesama mereka. Larangan bunuh ini adalah dalam bentuk berita, jadi ia bukanlah larangan kepada Yahudi di zaman nabi tetapi inilah perkara larangan tetapi telah pun diingkari.

  2. Dalam kalangan orang Islam pun ada larangan bunuh ini tetapi tetap sahaja ada yang mengingkarinya. Dalam hadits ada disebut perbuatan membunuh seorang muslim tanpa hak ini seperti membunuh kesemua orang Islam. Nyawa manusia bukanlah suatu yang boleh diambil sesuka hati, hakikatnya semakin ramai yang telah meninggalkan syariat Islam dalam bab menjaga nyawa sesama Islam.

  3. Larangan kedua dalam ayat ini ialah larangan menghalau orang lain dari tempatnya. Bani Israil ini cukup berbangga dengan keturunan mereka, di zaman nabi Musa as telah disebut mereka terbahagi kepada 12 puak. Di zaman Nabi Muhammad saw di Madinah pula mereka terpecah kepada Aus dan Khazraj. Di antara mereka ada yang suka mengusir musuh mereka keluar dari kawasan. Sekarang mereka mengusir rakyat Palestin pula.

Ayat 85

ثُمَّ أَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ تَقۡتُلُونَ أَنفُسَكُمۡ وَتُخۡرِجُونَ فَرِيقٗا مِّنكُم مِّن دِيَٰرِهِمۡ تَظَٰهَرُونَ عَلَيۡهِم بِٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِ وَإِن يَأۡتُوكُمۡ أُسَٰرَىٰ تُفَٰدُوهُمۡ وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيۡكُمۡ إِخۡرَاجُهُمۡۚ أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ

Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

  1. Ayat ini ditujukan kepada Bani Israil di zaman Nabi saw. Mereka berperang bertahun-tahun sesama mereka, satu puak menyokong puak Arab Aus dan satu puak lagi menyokong puak Arab Khazraj. Dalam peperangan itu mereka tidak pedulikan agama musuh mereka, kerana meninggalkan panduan wahyu walaupun mereka sama-sama Yahudi mereka tetap bunuh.

  2. Selain dari membunuh ada juga pihak lawan yang ditawan, apabila mengetahui ada Yahudi yang ditawan mereka menebus tebusan itu kerana arahan sebegini ini ada di dalam wahyu. Mereka telah mengambil wahyu mengikut hawa nafsu mereka sahaja, mana yang senang nak diiikut dan mana yang susah bari mereka mereka langgar sahaja arahan.

  3. Arahan untuk berbaik sesama agama ini bukan sahaja ajaran Taurat bahkan ada juga di dalam Al-Quran (Surah Al-Hujurat 10); "Orang-orang beriman itu sesungguhnya adik beradik. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara keduanya itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat."

  4. Satu lagi perkara haram yang telah Bani Israil buat ialah mengusir sebahagian mereka dari kampung halaman sedangkan mereka telah pun mengikut perjanjian dengan Allah dari zaman Nabi Musa as lagi. Larangan membunuh dan mengusir mereka tinggalkan dan arahan membebaskan tawanan mereka buat pula.

  5. Dalam Surah Al-Ahzab 36 kita juga dilarang memilih-milih dalam Al-Quran, wajib bagi kita untuk menerimanya sepenuhnya; "Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata."

  6. Sikap buruk ini menyebabkan mereka dihina di dunia dan kemudiannya di akhirat. Di zaman Nabi saw di Madinah Bani Quraizhah akhirnya dihalau dan para lelaki mereka dibunuh semua sekali (disebut di dalam Surah Ahzab); Bani Nadhir pula dihalau ke Syam dan mereka wajib membayar ufti (disebut di dalam Surah Hasyr). Dan di zaman Saidina Umar ra mereka semuanya diusir terus dari Tanah Arab.

Ayat 86

أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا ٱلحَيَوٰةَ الدُّنيا بِالآخِرَةِ ۖ فَلا يُخَفَّفُ عَنهُمُ العَذابُ وَلا هُم يُنصَرونَ

Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.

  1. Siapakah orang yang membeli kehidupan dunia dengan menjual akhirat? Mereka adalah orang yang mengambil sebahagian hukum dari kitab yang diturunkan dan meninggalkan sebahagian hukum yang lain (perangai Yahudi). Walaupun mereka membeli dunia dan mungkin meraih untung darinya sebenarnya mereka sedang membeli neraka. Kerana sayangkan kedudukan mereka belakangkan nasib mereka di akhirat.

  2. Ada yang mengatakan membeli dunia dan menjual akhirat ini hanya orang kafir sebenarnya tidak betul kerana dalam kalangan orang beriman juga ada yang berbuat sebegitu. Ia bukan sahaja berlaku pada ahli kita dahulu tetapi berlaku juga pada ahli kitab di zaman kita. Mereka sangka mereka peroleh untung sedangkan ia adalah istidraj yang menjauhkan lagi mereka dari jalan yang benar dan diterima.

  3. Allah berfirman dalam Al-Hadid 20 bahawa dunia ini hanyalah permainan. Yang suka bermain ini ialah kanak-kanak sahaja, jadi mengapa pula orang dewasa mahu bermain-main? Ini adalah kerana tidak adanya rasa tanggung jawab dan kesedaran. Maka jadilah orang dewasa yang mengambil dunia ini seperti kanak-kanak yang tiada rasa tanggungjawab kepada agamanya.

  4. Allah menggunakan perkataan beli dan bukannya ambil, terkeliru, tersilap atau telah ditakdirkan kerana "beli" itu menunjukkan seseorang itu memang sengaja memilih dunia bahkan mungkin sanggup pula mengeluarkan modal untuk memperoleh habuan dunia. Mereka ini akan diazab di akhirat tanpa dikurangkan sedikit pun azabnya.

  5. Di dalam neraka azab tidak pernah berkurang bahkan azab sentiasa semakin mengazabkan buat penghuninya. Dalam surah Al-Isra ayat 97 dinyatakan perihal azab, "Tempat kediaman mereka adalah neraka jahannam. Tiap-tiap kali nyala api Jahannam itu akan padam, Kami tambah lagi bagi mereka nyalanya." Dalam pada itu mereka tidak diberi apa-apa pertolongan.

Selesai ruku' 10 dari 40 ruku' Suran Al-Baqarah.

2 ulasan:

  1. teringat plak psl latest incident genocide kat bumi palestine tu...Allahul musta'an

    BalasPadam
  2. dalam Al-Quran pun telah termaktub akan kejahatan kaum Bani Israel sejak kewujudan manusia di muka bumi ini. Semoga Allah memberikan kemenangan kpd bangsa Palestine. Aamiin...

    BalasPadam