Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 9 (Ayat 72-82)
Ayat 72
وَإِذْ قَتَلْتُمْ نَفْسًا فَادَّارَأْتُمْ فِيهَا ۖ وَاللَّهُ مُخْرِجٌ مَّا كُنتُمْ تَكْتُمُونَ
Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan.
Ada penafsir yang mengaitkan kisah ini dengan kisah penyembelihan lembu sebelum ini tetapi kisah itu adalah dari sumber Yahudi, sebenarnya ia adalah kisah lain yang menceritakan perangai buruk Yahudi iaitu kisah anak saudara yang membunuh pakciknya untuk mendapatkan harta kemudian mayatnya pakciknya diletakkan di kampung yang ada musuh kepada pakciknya dan kemudian dia menuduh pula orang lain yang membunuh pakciknya.
Sebenarnya memang dia akan mewarisi harta pakciknya itu kerana pakciknya tiada waris lain, cuma dia sudah tidak sabar untuk mendapat harta sebagai habuan dunia. Setelah terjadinya pembunuhan itu berlakulah tuduh menuduh di antara mereka, sebahagian mereka mengetahui pembunuh sebenar tetapi berpakat menyembunyikan perkara yang sebenar.
Begitulah perangai buruk Bani Israil, walaupun yang membunuhnya seorang tetapi yang lain berpakat untuk menyembunyikan kesalahan seorang pemuda itu. Bukan sahaja mereka menyembunyikannya tetapi mereka tuduh pula orang lain yang membunuh sehingga hampir sahaja tercetus peperangan akibat peristiwa ini. Allah tetap sahaja akan memperlihatkan apa sahaja perkara buruk yang cuba disembunyikan.
Ayat ini adalah amaran kepada: 1. Yahudi di zaman Nabi Muhammad saw yang menyembunyikan kenabian Nabi Muhammad yang ada dalam kitab mereka, 2. Munafiqin dalam kalangan umat Islam di zaman Rasulullah, 3. Kita semua yang membaca Al-Quran. Ini adalah amaran supaya tidak menyembunyikan kebenaran, apa sahaja helah yang dibuat lambat laun kebenaran akan tetap terzahir lalu malu di atas ketidak jujuran.
Ayat 73
فَقُلنَا اضرِبوهُ بِبَعضِها ۚ كَذٰلِكَ يُحيِي اللَّهُ المَوتىٰ وَيُريكُم ءَايَـٰتِهِ لَعَلَّكُم تَعقِلونَ
Maka Kami (Allah) berfirman: “Pukullah si mati dengan sebahagian darinya” (Mereka pun memukulnya dan dia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.
Terdapat perbezaan pendapat dari kalangan ulama tentang benda yang perlu dipukul kepada mayat manusia itu; 1. Ada yang mengatakan pukul dengan anggota lembu, 2. Ada yang mengatakan pukul dengan anggota tubuh mayat itu sendiri kerana cerita ini tiada kaitan dengan cerita perintah Allah kepada Bani Israil untuk menyembelih lembu. Keduanya boleh dipegang bagaimana pun pendapat pertama seperti memuliakan lembu pula.
Sama seperti kisah ketukan tongkat Nabi Musa as, Allah boleh sahaja keluarkan terus air dari batu tetapi Allah ajar kita berusaha, kisah menghidupkan orang mati ini juga begitu, perlu patuh arahan sebagai tanda usaha baru mayat itu hidup kembali. Ada kisah-kisah lain dalam Al-Quran yang menunjukkan Allah menghidupkan semula orang mati, tiada yang mustahil bagi Allah dan keajaiban sebegini semuanya dari Allah.
Setelah orang itu kembali hidup, dia memberitahu kepada Nabi Musa as bahawa anak saudaranyalah yang membunuhnya demi untuk mendapat harta dengan cepat. Setelah itu dia pun dimatikan semula atas kehendak Allah jua. Mungkin kita dapat tahu apakah hikmah sesuatu perbuatan itu, dan mungkin sahaja akal kita tidak mampu memahaminya. Yang penting kita kena taat kepada Allah dan jangan berpakat dalam menyembunyikan kebenaran.
Ayat 74
ثُمَّ قَسَت قُلوبُكُم مِّن بَعدِ ذٰلِكَ فَهِيَ كَالحِجارَةِ أَو أَشَدُّ قَسوَةً ۚ وَإِنَّ مِنَ الحِجارَةِ لَما يَتَفَجَّرُ مِنهُ ٱلأَنهَـٰرُۚ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَشَّقَّقُ فَيَخرُجُ مِنهُ الماءُ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَهبِطُ مِن خَشيَةِ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ
Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.
Setelah banyak kisah tentang Bani Israil ditunjukkan, Allah megumpamakan hati mereka keras seperti batu. Bahkan ada yang lebih keras dari batu untuk menerima kebenaran. Mereka telah dikurniakan akal dan ilmu yang tinggi, ditunjukkan pelbagai perkara ajaib supaya mereka beriman. Ayat ini adalah sebagai panduan kepada Arab di Madinah di mana di sekitar mereka tinggal cucu cicit keturunan Yahudi.
Allah menggunakan perumpamaan batu sebagai hati dan air sebagai iman. Ada batu yang menjadi tempat keluarnya air, orang sebegini sentiasa mencari kebenaran. Akalnya tidak didorongi hati (nafsu). Orang sebegini tiada masalah untuk berubah, ia boleh digambarkan seperti Saidina Abu Bakar Al-Siddiq ra yang menerima Islam dengan mudah walaupun pelbagai ujian perlu ditempuhi. Apa yang ada dalam Al-Quran dan Sunnah diikuti sepenuhnya, dan mudah menyanggahi perkara ibadah yang tiada dalam sunnah.
Perumpaan kedua ialah batu yang perlu dipecah dan dibelah untuk mendapat mata air. Perlu pendakatan berbeza kepada orang yang hatinya agak keras sebegini, contohnya ialah Saidina Umar Al-Khattan ra. Sebelum menerima Islam dia sangat memusuhi Islam, bahkan pernah berperang dan menyeksa orang Islam. Atas dakwah Nabi saw yang berterusan dan izin Allah baru hatinya menerima kebenaran.
Perumpaan ketiga ialah batu yang jatuh ke bawah kerana takutkan Alllah. Kadang kala batu di bukit atau gunung akan jatuh secara tiba-tiba. Orang yang hatinya sebegini sebenarnya ada sedikit iman di dalam hatinya, di atas peristiwa tertentu hatinya berubah secara tiba-tiba untuk menerima Islam. Banyak terjadi orang masuk Islam secara tiba-tiba contohnya ketika sedang sakit, melihat kebesaran Allah, apabila diuji, apabila mengkaji Al-Quran (tadabbur).
Dalam Surah Al-Isra ayat 44 Allah berfirman: “Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.” Batu yang dilihat kaku tidak bergerak semuanya sentiasa sedang bertasbih kepada Allah. Kita yang banyak diberi nikmat jangan kalah untuk sentiasa memuji, membersar dan meninggikan Allah.
Ayat 75
أَفَتَطمَعونَ أَن يُؤمِنوا لَكُم وَقَد كانَ فَريقٌ مِّنهُم يَسمَعونَ كَلٰمَ اللَّهِ ثُمَّ يُحَرِّفونَهُ مِن بَعدِ ما عَقَلوهُ وَهُم يَعلَمونَ
(Sesudah kamu – wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu – mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?
Allah memberitahu kepada Nabi saw dan para sahabatnya yang telah Islam supaya dalam berdakwah kepada Yahudi di Madinah, janganlah terlalu berharap mereka akan dengan mudah menerima Islam. Sedangkan nenek moyang mereka dahulu mempermainkan kata-kata Allah apatah lagi kata-kata manusia. Rasulullah saw berharap sangat dapat mengislamkan seramai mana manusia, tidak henti-henti dakwahNya dari di Mekah hinggalah di Madinah.
Keinginan Nabi saw untuk mengajak orang kepada Islam hampir sahaja membinasakan dirinya hinggakan Allah mengingatkan dalam surah Al-Syura 3 dan Al-Kahfi 6: "Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini." Apapun ayat ini bukanlah bermaksud supaya dakwah dihentikan.
Pembesar Yahudi di Madinah bukan tidak tahu malah mereka telah pun mendengat ayat-ayat Allah lebih awal dari kitab mereka, mereka juga menunggu pembawa berita gembira yang memberi peringatan iaitu Nabi Muhammad saw. Nenek moyang mereka dahulu melihat sendiri bagaimana wahyu diturunkan kepada Nabi Musa as di Bukit Thur. Walaupun mengetahui tetapi kemudian mereka mengubahnya.
Betapa buruknya perangan pembesar yahudi, mereka mengubah dengan tukar, buang atau tambah apa yang ada dalam taurat supaya selari dengan kehendak mereka. Apa yang halal mereka haramkan dan apa yang haram mereka halalkan, selain itu mereka juga ubah tafsiran kepada ayat mengikut hawa nafsu mereka. Mereka bukanlah ubah kerana jahil bahkan mereka telah pun faham pada mulanya.
Walaupun ayat ini menceritakan jahatnya ahli kitab dalam kalangan yahudi, kita juga perlu berhati-hati dengan ahli kitab Al-Quran di zaman ini, walaupun seburuk-buruk orang Islam tiada yang berani mengubah ayat Al-Quran atau perkataan dalam Al-Quran, mungkin terdapat usaha-usaha untuk mentafsirkan Al-Quran mengikut akal dan hawa nafsu sendiri, mungkin ada yang menyembunyikan ayat tertentu kerana tidak kena dengan selera mereka.
Ayat 76
وَإِذا لَقُوا الَّذينَ آمَنوا قالوا آمَنّا وَإِذا خَلا بَعضُهُم إِلىٰ بَعضٍ قالوا أَتُحَدِّثونَهُم بِما فَتَحَ اللَّهُ عَلَيكُم لِيُحاجّوكُم بِهِ عِندَ رَبِّكُم ۚ أَفَلا تَعقِلونَ
Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah) bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami telah beriman”; dan apabila mereka berjumpa sesama sendiri, mereka berkata: “Patutkah kamu ceritakan kepada mereka (orang-orang Islam) dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada kamu (di dalam Kitab Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad) untuk menjadikannya sebagai hujah (bukti) yang dapat mengalahkah kamu di sisi Tuhan kamu? Tidakkah kamu berakal?”
Orang awam di kalangan Yahudi ada yang berurusan dengan para sahabat nabi saw terutamanya dalam perniagaan, mereka telah didakwah dengan dakwah Islam, apa dibacakan ayat-ayat Al-Quran, keterangan tentang kedatangan nabi akhir mereka meniyakannya. Semuanya telah mereka tahu tentangnya dari kitab Taurat dan ajaran Yahudi. Berbeza dengan pendeta atau para alim dalam kalangan Yahudi, mereka tidak mahu mengiyakannya.
Apabila orang awam Yahudi menceritakan tentang persamaan itu kepada pendeta mereka, mereka dimarahi kerana telah membongkarkan rahsia. Mereka menambah ayat dengan mengatakan Nabi Muhammad saw itu diutuskan hanya untuk orang Arab sahaja. Mereka tidak mahu perkara ini diketahui oleh kaum muslimin kerana bimbang ia akan dijadikan hujah untuk mengajak Yahudi kepada Islam. Mereka juga tidak mahu ia dijadikan hujah di hadapan Allah.
Dalam surah Al-Baqarah ayat 146 Allah menyebut: "Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian)."
Ayat 77
أَوَلا يَعلَمونَ أَنَّ اللَّهَ يَعلَمُ ما يُسِرّونَ وَما يُعلِنونَ
(Mereka berani berkata demikian) dan tidakkah mereka ketahui bahawasanya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan?
Patutkah ulama Yahudi itu memberi arahan sedemikian kepada orang bawahan mereka? Iaitu arahan melarang pengikut mereka membocorkan rahsia kebenaran Islam di dalam ajaran Yahudi sendiri. Mereka mungkin boleh merahsiakannya dari manusia tetapi mereka tidak dapat merahsiakannya dari Allah, hakikatnya orang Islam ketika itu mengetahuinya dari orang awam Yahudi dan juga melalui Al-Quran yang diturunkan.
Allah bukan sahaja tahu apa yang dibincangkan oleh ulama Yahudi bahkan apa di dalam hati mereka pun Allah mengetahui seperti dalam firman di dalam Surah Taha 7: "Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi." Dalam berdoa tidak semestinya doa yang kuat lebih baik dari doa perlahan, tidak semestinya doa beramai-ramai lebih baik dari doa bersendirian.
Pengajaran kepada ulama Islam di zaman ini supaya tidak menyembunyikan ayat-ayat Allah atau memilih ayat tertentu yang tidak kontroversi, tiada ayat dalam Al-Quran yang patut disembunyikan kepada orang Islam atau orang bukan Islam. Tugas ulama ialah menyampaikan semua ayat-ayat Allah kepada semua, bukan hanya kepada orang Islam dan bukan hanya ayat-ayat yang mereka rasakan sesuai.
Ayat 78
وَمِنهُم أُمِّيّونَ لا يَعلَمونَ ٱلكِتَـٰبَ إِلّا أَمانِيَّ وَإِن هُم إِلّا يَظُنّونَ
Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang ‘buta huruf’, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.
Allah menerangkan dalam kalangan Yahudi ada yang buta huruf (ummiy). Ummiy ini dari perkataan ummi iaitu ibu, ummiy ialah yang baru keluar dari rahim ibu. Seperti bayi, ia tidak tahu apa-apa langsung. Golongan ini tidak faham kitab yang diturunkan buat mereka dengan menyeluruh, mereka belajar dari penjelasan-penjelasan bohong pendeta Yahudi. Kelompok ini tidak berusaha mencari kebenaran tetapi mengaku beragama.
Yang dimaksudkan dengan ummiy itu ialah golongan: 1. Tidak tahu isi kitab dengan menyeluruh, 2. Tidak faham tafsir, 3. Hanya menerima sahaja apa yang disampaikan tanpa mendalami, 4. Hanya menerima sahaja tanpa memahami dengan fahaman yang benar. Allah mencela orang yang tidak faham ilmu wahyu, bagaimana dapat hidup dengan selamat jika panduannya tidak kita tahu dengan mendalam.
Iktibar juga kepada umat Islam sekarang terutamanya orang Melayu yang pandai baca Al-Quran, selalu melaziminya, tajwidnya bagus sekali tetapi tidak dapat memahami maksudnya, tidak juga berusaha mempelajari Al-Quran dan tidak menjadikannya petunjuk dalam kehidupan. Ilmu wahyu perlu difahami sebagaimana para salaf memahaminya, begitu juga dalam memahami sunnah yang ditinggalkan Rasulullah saw.
Ayat 79
فَوَيلٌ لِّلَّذينَ يَكتُبونَ ٱلكِتَـٰبَ بِأَيديهِم ثُمَّ يَقولونَ هٰذا مِن عِندِ اللَّهِ لِيَشتَروا بِهِ ثَمَنًا قَليلًا ۖ فَوَيلٌ لَّهُم مِمّا كَتَبَت أَيديهِم وَوَيلٌ لَّهُم مِّمّا يَكسِبونَ
Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.
Jika dalam ayat sebelum ini Allah tujukan kepada Bani Israil yang bersikap bodoh kerana menerima sahaja apa yang disampaikan orang alim mereka tanpa berusaha mencari kebenaran sebenar, ayat ini pula ditujukan kepada arang alim mereka sendiri. Tiga kali perkataan celaka (وَيلٌ) diulang dalam ayat ini menunjukkan betapa buruknya perbuatan mereka itu yang mengubah isi kandungan Taurat dengan sesuatu yang mereka reka sendiri.
Mereka ini bukan sahaja mengubahnya dengan perkataan bahkan mereka ubah dengan tangan mereka sendiri, ini menunjukkan mereka bukan tersilap tetapi betul-betul mahu ubah apa yang telah Allah turunkan kepada Bani Israil. Bukan sahaja mereka ubah kitab Taurat tetapi mereka menulis kitab amalan baru yang bukan dari ajaran Nabi Musa as. Berhati-hati kerana dalam masyarakat kita pun ada kitab amalan yang bukan dari ajaran Muhammad saw.
Mereka ubah sebahagian ayat berdasarkan nafsu mereka, yang mana menguntungkan mereka itulah yang disampaikan. Mana yang merugikan mereka, mereka akan ubah sesuka hati. Untung kita sebagai orang Islam kerana kitab Al-Quran telah dijamin akan dipelihara sekurang-kurangnya dari segi teksnya. Walaupun terjamin dipelihara dari segi teks ada juga sebahagian yang cuba mengubah maksud ayatnya.
Setelah mereka ubah perkataan, ayat dan menambah ayat-ayat baru mereka claim pula ini semua adalah dari Allah kepada pengikut mereka. Serupa juga dengan orang yang beramal dengan amalan yang tidak sahih dari Allah dan rasul, mereka claim ini semua ada dalam Islam. Selain dari mengubah maksud dalam Al-Quran dan hadits, musibah besar umat Islam akhir zaman ini ialah apabila hukum-hukum di dalam Al-Quran ditukar. Ada yang mengatakan ianya hukuman yang zalim dan ketinggalan zaman.
Ayat 80
وَقالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودَةً ۚ قُل أَتَّخَذتُم عِندَ اللَّهِ عَهدًا فَلَن يُخلِفَ اللَّهُ عَهدَهُ ۖ أَم تَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ
Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?”
Disebabkan beragama atas dasar sangkaan, sebahagian dari Bani Israil merasakan mereka akan selamat dari api neraka. Mereka sangka mereka adalah bangsa terpilih yang tidak akan disentuk oleh api neraka. Bagi mereka ilmu agama yang mereka ada telah mencukupi dan tidak perlu lagi mencari kebenaran atau menerima syariat yang dibawa Nabi Muhammad saw. Mereka anggap amalan mereka benar, tiada siapa dapat menentukan selamatnya dia dari api neraka.
Bani Israil merasakan mereka berada dipihak yang benar sedangkan banyak sekali kesalahan yang telah mereka lakukan. Mereka juga sangka jika pun mereka melakukan kesalahan mereka hanya akan dimasukkan ke dalam neraka untuk beberapa hari sahaja. Pada hakikatnya mereka telah menolak syariat dua kali, pertamanya ketika nabi Isa as diangkat menjadi rasul dan ketika nabi Muhammad saw diangkat menjadi rasul.
Walaupun saki-baki Bani Israil di zaman Nabi Muhammad dari keturunan yang mulia, di kalangan mereka diutuskan banyak nabi dan ramai orang-orang alim di kalangan mereka, ia tidak menjamin mereka untuk selamat dari api neraka. Mereka sangka agama yang mereka ikuti masih lagi benar sedangkan apabila diutuskan nabi Muhammad, syariat agama Yahudi dan Nasrani telah terbatal.
Dalam Islam pun ada yang sanggup masuk neraka sebentar kemudian akan masuk syurga balik. Jika belajar ilmu tafsir dan hadis-hadis tentang azab neraka tiada yang sanggup melaluinya, orang yang punya pemikiran sebegini sebenarnya dipengaruhi syaitan. Bila beranggapan begini maka semua tuntutan dalam agama diremehkan, larangan pula dilanggar dan orang bebas melalukukan perkara yang mereka sangka benar atau baik hanya atas sangkaan sahaja.
Allah perintahkan nabi saw bertanya kepada mereka, adakah mereka benar-benar telah dijanjikan keselamatan dari neraka? Kadang-kadang apabila berurusan dengan orang yang jahil ini lebih baik kita tidak menjawab, sebaliknya ajukan soalan. hakikatnya tiada pun jaminan yang mereka akan selamat dari api neraka. Tiada jaminan keselamatan buat mereka yang lahir dari keturunan baik, sama juga seperti mana nabi saw mengatakan yang jika anaknya Fatimah melalukan dosa, beliau sendiripun tidak dapat menyelamatkannya.
Ayat 81
بَلىٰ مَن كَسَبَ سَيِّئَةً وَأَحَـٰطَت بِهِ خَطيئَتُهُ فَأُولٰئِكَ أَصحَـٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خَـٰلِدُونَ
(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan dia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
Ayat ini dalam kategori ayat yang menakutkan atau dikenali sebagai ayat Takhwif. Betapa sangkaan Bani Israil tidak benar dan Allah beritahu perkara sebenar. Allah menidakkan sangkaan mereka yang mengatakan paling teruk pun mereka akan dimasukkan ke neraka sekejap sahaja. Bukan sahaja mereka telah melakukan kesalah bahkan kesalahan mereka ada besar iaitu antaranya syirik kepada Allah. Ancaman ini bukan hanya merujuk kepada Yahudi tetapi kepada siapa sahaja, mereka sangka mereka beramal untuk pahala tetapi sebenarnya mereka melakukan syirik.
Dosa syirik itu meliputi mereka sehingga mereka mati, mereka tidak bertaubat atas dosa-dosa mereka. "Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat." (Riwayat Ibn Majah (4392) Status: Hasan). Berbeza dengan orang mukmin, dosa mereka tidak meliputi mereka hingga mati. Orang Mukmin cepat sedar akan kesalahannya dan segera bertaubat. Orang Mukmin sentiasa berhati-hati dari melakukan dosa-dosa besar terutamanya syirik.
Bani Israil yang tidak bertaubat dan menerima Islam sebagai agama benar akan menjadi ahli neraka, mereka akan kekal di dalamnya selamanya. Mereka tidak akan keluar langsung dari neraka, Allah menekankan perkara ini kerana mereka menyangka mereka bangsa istimewa, mereka anak cucu dari para alim ulama, ada di kalangan mereka anak cucu nabi maka mesti Allah akan selamatkan. Paling teruk pun mereka sangka mereka akan dimasukkan ke dalam neraka sekejap sahaja. Hakikatnya itu semua tidak menjamin keselamatan, dosa syirik tiada galang gantinya kecuali kekal di dalam neraka.
Ayat 82
وَالَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُولٰئِكَ أَصحَـٰبُ الجَنَّةِ ۖ هُم فيها خَـٰلِدُونَ
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.
Selepas diberikan dengan ayat Takhwif (ancaman) dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ memberikan ayat Tabshir (menggembirakan) pula pada ayat ini. Jika sebelum ini diterangkan siapa ahli neraka yang kekal di dalamnya, sekarang diterangkan pula siapa ahli syurga yang kekal di dalamnya. Aturannya ialah dengan beriman dengan apa yang patut diimani dengan sempurna.
Setelah beriman dengan iman yang sempurna seterusnya untuk kekal di dalam syurga seseorang itu perlulah beramal dengan amalan yang soleh, amalan boleh jadi amalan yang baik dan boleh jadi amalan yang buruk. Amalan yang baik ialah amalan yang telah dicontohkan oleh Nabi saw. Amalan yang baik semestinya mempunyai dalil yang sahil dari Al-Quran dan hadits nabi saw.
Selesai ruku' 9 dari 40 ruku' Surah Al-Baqarah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan