Assalamualaikum dan selamat pagi. Kita sambung lagi travelog dalam siri trip Balkan 2025. Siri kali ini akan merentas 4 negara dalam satu hari iaitu Bosnia, Croatia, Montenegro dan Albania. Malam itu kami masih lagi di bumi Bosnia. Termasuk malam itu 3 malam kami di negara Bosnia, pertama di Bihac, kedua di Sarajevo dan malam ketiga di Trebijne. Kami bermalam di Hotel Leotar. Masa terima kunci biasanya kami redha sahaja dapat bilik macam mana. Kami bertiga dan dapat bilik katil queen sahaja tetapi direzekikan ada rakan setrip yang offer tukar bilik kerana dia dapat bilik besar ala-ala suite, siap ada access ke beranda yang besar. Syukur betul. Dia berdua sahaja suami isteri. Kadang-kadang bila booking hotel banyak bilik ni hotel akan bagi sahaja bilik besar walaupun order bilik biasa sebab bila tak cukup bilik biasa takkan hotel nak tolak. Hotel ni agak oldies, tiada lif dan dan ada seorang perempuan tukang hantar beg ditugaskan menghantar beg ke bilik-bilik. Kagum dengan kehebatan dia mengangkat beg yang besar. Beg-beg kecil kami bawa sendiri sahaja. Malam itu kami tidur selesa dengan nyenyaknya.
Keesokan harinya setelah sarapan kami bertolak ke Dubrovnik di Croatia. Sebelum masuk ke Bosnia sebenarnya kami telah melalui Croatia cuma semasa pembahagian negara selepas perang, Bosnia hanya diberi akses ke Laut Adriatik dalam 20km sahaja, Croatia pula dapat akses laut yang banyak sekali. Di Dubrovnik kami masuk ke sebuah kubu yang ada penempatan di dalamnya. Sungguh unik sekali kerana kota ini betul-betul dikelilingi kubu di tepi laut. Sungguh hebat kerajaan yang menjaga kota ini dari serangan luar. Jika tak silap dalam rangka kerajaan Turkey Uthmaniyah menakluk kawasan ini kota ini tidak berjaya ditakluk. Dubrovnik ini juga terkenal sebagai tempat penggambaran siri Game of Thrones. Terdapat akses ke pelabuhan dengan pintu yang sangat cantik. Ada satu masalah sewaktu nak bergerak dari kota ini di mana kami ke toilet bertiga tetapi tiada duit syiling. Panik betul sebab toiletnya pakai mesin, nasib baik ada orang ajarkan untuk swipe credit card.
Kami meneruskan perjalanan dengan pemandangan Adriatic Sea di sebelah kanan kami manakala bukit-bukit di sebelah kiri. Banyak kawasan ini didiami oleh orang-orang kaya. Kami singgah di tempat bernama Kotor di Montenegro. Bila tahu namanya begitu bisinglah kami yang dalam trip ini. Hakikatnya tempatnya bersih sekali. Jangan judge pada namanya ya. Antara yang menarik di Kotor ialah banyaknya kucing-kucing mundar mandir di sini. Apa pun menurut local tour guide kucing-kucing ini tiada kena mengena dengan nama Kotor tu, apa pun antara kepercayaan orang tempatan kucing ini membawa tuah kepada mereka. Di sini kami makan ikan goreng di restoran makanan laut bernama Bastion. Kawasan ini berada dekat dengan laut Adriatic jadi jika nak makan ikan inilah antara restorannya. Bangunan restoran ini dahulunya adalah tempat menyimpan bahan letupan, jadi dinding dan silingnya cukup tebal dibina. Menunya hanya ikan goreng dan sayur rebus, sebelum itu dihidangkan dahulu roti. Antara benda yang bagus di restoran-restoran sepanjang perjalanan kami ialah air kosong adalah wajib. Duduk sahaja di meja kita akan dihidangkan dengan air kosong dahulu. Jarang sekali orang order air manis kecuali secawan kecil (betul punya kecil ya) kopi atau teh setelah habis makan semua. Sepatutnya di negara kita pun kena praktikkan macam ni, lebih sihat.
Perjalanan hari ini agak jauh juga, kami melewati pesisir laut Adriatik melalui bandar Budva yang mewah. Di sini adalah tempat orang-orang kaya Eropah bercuti pada musim panas. Banyak hotel-hotel mewah di kawasan pelancongan ini. Kami meneruskan perjalanan merentas negara Albania dan bermalam di Shkoder.
 |
Hotel Leotar. Pasti teringat perempuan pengangkat beg yang gagah itu. |
 |
Dubrovnik menghadap laut Adriatik. |
 |
Suasana di dalam Kota Dubrovnik, Croatia.
|
 |
Lidah terkeluar pula. |
 |
Lorong-lorong sempit ke bahagian kota yang lebih tinggi. |
 |
Tempat penggambaran siri Game of Thrones. |
 |
Pelabuhan kecil Kota Dubrovnik. |
 |
Sempat beli buah oren kerana ada pasar kecil menjual sayur dan buah di tengah kota. |
 |
Perut dah lapar. |
 |
Selepas air kosong, roti akan sampai dahulu sebelum main dish. |
 |
Sedap dapat makan ikan goreng celup tepung dan sayur rebus, sayangnya tak ada nasi haha. |
 |
Kotor dikenali juga sebagai City of Cats. Walaupun simbol kota ini adalah singa tetapi kucing yang banyak menguasainya. |
 |
Sebuah clock tower yang menjadi ikon kepada Kotor. |
 |
Permandangan sunset menghadap Adriatic Sea. |
Sekian dahulu, akan bersambung lagi insyaAllah.
Masya Allah mas Fai ini keren banget traveling di negara2 yang unik dan istimewa. Penasaran deh dengan suasananya. Seandainya ada foto-foto, tentu lebih cihuy nih dibayangkan seandainya berada di sana.
BalasPadamMaaf, ada ya gambar-gambar disertakan.
Padam