Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 6 (Ayat 47-59)
Ruku' ke 6 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah adalah berkisarkan kepada beberapa tajuk kecil iaitu; 1. Nikmat yang telah diberikan kepada Bani Israil, 2. Ancaman kepada orang yang melakukan kerosakan, 3. Pembebasan Bani Israil dari cengkaman Fir'aun, 4. Penyembahan anak lembu, 5. Keinginan melihat Allah secara terus, diberi makanan syurga, 6. Tidak puas hati dan tidak percayanya Bani Israil.
Ayat 47
يٰبَني إِسرٰءيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتيٓ أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَنّي فَضَّلتُكُم عَلَى العٰلَمينَ
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).
Allah mengingatkan Bani Israil tentang banyak nikmat yang telah diberikan kepada bangsa mereka dahulu iaitu; 1. Diutuskan ribuan nabi dan rasul kepada bangsa mereka, 2. Mereka diberi kecerdikan dan ilmu yang hebat, 3. Bangsa mereka dilimpahi dengan kekayaan, 4. Mereka juga dikurniakan rupa paras yang cantik. Allah berikan segala nikmat ini kerana Bani Israil adalah bangsa yang telah Allah pilih.
Bani Israil di zaman rasulullah saw mengetahui mereka adalah bangsa istimewa dan terpilih namun mereka telah lupa atau menidakkan yang memilih mereka itu adalah Allah bermakna Allah boleh sahaja menarik segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka. Dari segala nikmat yang telah diberikan itu perlulah mereka bersyukur di atasnya.
Cara bersyukur adalah dengan melakukan tiga perkara; 1. Dengan hati, 2. Dengan perkataan, 3. Dengan perbuatan. Boleh menyebut tentang nikmat yang kita dapat sebagai tanda bersyukur dengan syarat bukan untuk bermegah (AlDhuha11). Allah mengajarkan cara bersyukur ialah dengan; 1. Melakukan ibadah hanya kepadaNya (AlBaqarah172), 2. Mengejakan amal soleh (AlMukminun51).
Aisyah رضي الله عنها berkata, Rasulullah ﷺ ketika melaksanakan solat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah رضي الله عنها bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”. (Sahih Muslim (5046)).
Lawan kepada bersyukur ialah kufur (AlBaqarah152). Antara tanda orang yang tidak bersyukur ialah; 1. Apabila mendapat sesuatu dia tidak merasakan ianya dari Allah, hanya dari usaha dan perancangannya sahaja, 2. Tidak menggunakan kurniaan Allah untuk perkara kebaikan, 3. Tidak mentaati Allah dalam ibadah dan meninggalkan amal soleh.
Segala kurniaan dan kelebihan yang Allah berikan kepada Bani Israil telah berakhir apabila diutusnya nabi Muhammad saw dan diturunkan Al-Quran. Mereka bukan lagi bangsa yang istimewa sekarang ini kerana umat Muhammdlah bangsa yang istimewa iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasulNya. "Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah." (Ali-Imran110).
Ayat 48
وَاتَّقوا يَومًا لّا تَجزي نَفسٌ عَن نَّفسٍ شَيئًا وَلا يُقبَلُ مِنها شَفٰعَةٌ وَلا يُؤخَذُ مِنها عَدلٌ وَلا هُم يُنصَرونَ
Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikit pun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafa’at daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.
Setelah Allah memujuk Bani Israil dengan cara baik dalam ayat sebelum ini, Allah memberikan pula ancaman berupa azab sengsara pada hari akhirat bagi mereka yang menolak kebenaran. Bani Israli merupakan keturunan dari nabi Yaakub as dan Nabi Yusuf as. Berketurunan nabi tidak menjamin keselamatan seseorang pada hari akhirat, keturunan nabi tidak terlepas dari ancaman Allah jika menolak kebenaran.
Abu Hurairah berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda ketika turun ayat ini kepadanya: ‘(Dan berilah peringatan kepada keluargamu yang dekat) ‘ (Syu’ara`: 214). Baginda bersabda: “Wahai sekelompok orang Quraisy, belilah diri kalian daripada Allah, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikitpun, wahai bani Abd al-Muthalib, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikitpun, wahai Abbas bin Abd al-Muthalib, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikitpun, wahai Shafiyyah, ibu saudara Rasulullah, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikitpun, wahai Fatimah binti Rasulullah, mintalah kepadaku sesuatu yang kamu kehendaki, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikitpun.” (Sahih Bukhari (305)).
Orang mukmin masih boleh mendapat syafa’at daripada mereka yang boleh memberi syafa’at. Akan tetapi orang kafir tidak akan ada harapan itu. Bukan sahaja Bani Israil mengharapkan syafaat bahkan mereka sangka merekalah pemberi syafaat kerana mereka bangsa yang terpilih. Tiada sesiapa yang boleh beri syafa’at kecuali yang diberi izin oleh Allah.
Patutkah mereka mengambil yang lain daripada Allah menjadi pemberi syafaat? Bertanyalah (kepada mereka): “Dapatkah yang lain dari Allah memberi syafaat padahal semuanya tidak mempunyai apa-apa, dan tidak pula mengerti (sebarang apa pun)?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Syafa’at itu semuanya hak kepunyaan Allah; Dia lah Yang Menguasai segala urusan langit dan bumi; kemudian kamu akan dikembalikan kepada-Nya (untuk menerima balasan).” Al-Zumar 43-44.
Jika di dunia ada yang melakukan rasuah untuk mendapat sesuatu yang bukan haknya tetapi di hari akhirat tiada lagi rasuah. Persoalannya bagaimana untuk merasuah jika telah tiada harta? Seseorang akan sanggup menggadaikan anaknya, ibunya dan seluruh keluarganya untuk mendapat keringanan dari azab. Tiada apapun yang dapat menolong mereka yang menolak Islam. Bagi orang beriman mereka berpeluang mendapat syafaat dan pertolongan di atas amal soleh dan keredhaan Allah kepada mereka.
Ayat 49
وَإِذ نَجَّينَـٰڪُم مِّن ءَالِ فِرعَونَ يَسُومُونَكُم سُوٓءَ ٱلعَذَابِ يُذَبِّحُونَ أَبنَآءَكُم وَيَستَحيُونَ نِسَآءَكُم وَفِى ذٰلِكُم بَلَآءٌ مِّن رَّبِّكُم عَظِيمٌ
Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.
Bani Israil telah diselamatkan oleh Allah dari kekejaman Firaun dan kaumnya. Firaun menyeksa Bani Israil dengan seksaan yang berat dan buruk. (Al-A'raf 171). Bukan sekali Allah menyelamatkan mereka bahkan berkali-kali Allah menyelamatkan mereka. Kekejaman Firaun boleh sahaja melenyapkan terus Bani Israil dari muka bumi sekiranya Allah mengizinkannya.
Kerajaan Firaun menindas Bani Israil selama 400 tahun. Mereka membunuk anak-anak lelaki dari Bani Israil dan membiarkan anak perempuan hidup untuk dijadikan sebagai hamba abdi. Setelah Nabi Yusuf as wafat, penguasa di Mesir kembali dikuasai orang tempatan Qibti. Mereka amat membenci Bani Israil dan menjadikan Bani Israil sebagai bangsa yang hina dan dijadikannya hamba.
Dikatakan mimpi salah seorang dari Firaun tentang kerajaannya yang akan ditumbangkan oleh seorang lelaki dari Bani Israil, kerana mimpi inilah semua anak-anak lelaki dari Bani Israil dibunuh. Inilah yang ditiru oleh Israel di zaman moden, mereka cukup takut jika mereka ditumbangkan orang Islam Palestin, lalu mereka bunuh anak-anak Palestin (ethnic clensing atau genoside).
Bani Israil diselamatkan dari azab keluarga Firaun setelah Allah utuskan Nabi Musa as dan Nabi Harus as dari kalangan mereka. Peristiwa Nabi Musa dan Bani Israil di selamatkan dan ditenggelamkan Firaun dan pengikutnya direkodkan sebagai Hari Asyura. Kerana itu Bani Israil memuliakan Hari Asyura. Nabi Muhammad saw juga memuliakan Hari Asyura dengan menganjurkan puasa pada hari berkenaan kerana Allah telah menyelamatkan Nabi Musa as.
Ayat 50
وَإِذ فَرَقنَا بِكُمُ ٱلبَحرَ فَأَنجَينَـٰڪُم وَأَغرَقنَآ ءَالَ فِرعَونَ وَأَنتُم تَنظُرُونَ
Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.
Setelah bertahun-tahun dakwah Nabi Musa kepada Firaun tidak berjaya Allah membenarkan Nabi Musa dan pengikutnya dari Bani Israil lari dari Mesir sehingga mereka tersekat di Laut Qulzum (nama lama Laut Merah). Mereka dikejar oleh Firaun dan tenteranya. Allah mewahyukan kepada Nabi Musa untuk memukul tongkatnya lalu terbelahlah laut menjadi laluan selamat bagi Nabi Musa dan Bani Israil (Al-Syu'ara' 63). Bukan sahaja mereka diselamatkan bahlah Allah tenggelamkan Firaun dan bala tenteranya.
Mukjizat Nabi Musa ini hanya Allah berikan sekali sahaja. Begitu juga keramat yang diberikan kepada orang soleh. Perkara yang dikatakan keramat, yang boleh dilakukan berkali mengikut kehendak pelakunya sebenarnya bukanlah keramat tetapi adalah sihir yang menipu manusia. Pelaku sihir adalah orang yang melakukan kekufuran kepada Allah dan semua amalan mereka adalah menyimpang dari ajaran Islam. Seolah-orang mereka membuat amalan kepada Allah sebenarnya amalan mereka adalah kepada syaitan dari kalangan jin.
Ada disebut kisah Firaun saat hampir lemas sempat mengucap shahadah untuk masuk Islam tetapi syahadahnya tidak diterima. Walaupun Bani Israil menyaksikan tenggelamnya Firaun dan tenteranya, mereka masih ragu sama ada Firaun yang disembah sebagai tuhan oleh rakyatnya telah mati sehinggalah Allah mengeluarkan jasadnya dari laut untuk meyakinkan mereka (Yunus 92). Allah memelihara jasad Firaun hingga ke hari ini supaya kita dapat melihat dan sebagai bukti kisah Allah menyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israil.
Ayat 51
وَإِذ وٰعَدنا موسىٰ أَربَعينَ لَيلَةً ثُمَّ اتَّخَذتُمُ العِجلَ مِن بَعدِهِ وَأَنتُم ظٰلِمونَ
Dan (kenangkanlah) ketika Kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah dia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah dia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).
Jika dalam ayat sebelum ini Bani Israil diselamatkan Allah dari ancaman keselamatan fizikal, dalam ayat ini Allah menerangkan pula tentang nikmat keselamatan rohani atau akidah mereka. Setelah mereka diselamatkan dalam peristiwa laut di belah sebagai laluan untuk mereka sepatutnya mereka mentaati Nabi Musa as sebagai pemimpin mereka namun perkara yang sebaliknya telah berlaku.
Setelah diselamatkan dari kekejaman Firaun, Bani Israil perlukan kembali kepada wahyu. Peristiwa ini sama seperti yang terjadi di Syria, sepatutnya setelah Allah selamatkan rakyat Syria dari kekejaman rajim Assad, mereka perlu kembali kepada wahyu dalam menguruskan negara dan kehidupan. Nabi Musa as mengasingkan diri ke Lembah Thuwa di Pergunungan Sinai setelah diilhamkan Allah untuk menerima wahyu.
Setelah mengasingkan diri selama 30 malam, Allah memerintahkan supaya dilengkapkan menjadi 40 malam (Al-A'raf 142), lalu Allah mengurniakan Taurat secara sekali gus kepada Nabi Musa as. Dalam pada ketiadaan Nabi Musa itu, Bani Israil yang ditinggalkan telah menyembah patung anak lembu. Keinginan mereka untuk beragama adalah berdasarkan hawa nafsu mereka sahaja.
'Zalim' dalam ayat ini adalah kerana mereka telah melakukan syirik (zalim kepada diri sendiri). Bani Israil telah menyembah sesuatu yang tidak sepatutnya disembah. Berbanding kezaliman kepada mahkluk, kezaliman syirik ada labih besar kesalahannya; pelaku syirik kekal di dalam azab api neraka. Nabi Harun as yang berada dalam kalangan mereka telah diugut bunuh. Ketua mereka seorang yang gagah bernama Samiri.
Ayat 52
ثُمَّ عَفَونا عَنكُم مِّن بَعدِ ذٰلِكَ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ
Kemudian sesudah itu Kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.
Dalam kisah penyembahan patung anak lembu yang diketuai Samiri, kaum Bani Israil tidak dihukum kesemuanya kerana ada sebilangan dari mereka telah bertaubat dan membunuh penyembah patung anak lembu dalam kalangan mereka. Kisah mereka bertaubat adalah setelah Nabi Musa kembali dari pengasingan untuk menerima wahyu iaitu Taurat atau Torah. Itulah syariat Nabi Musa as pada ketika itu.
Kaum Bani Israil yang yang bertaubat dan kembali menyembah Allah telah diampunkan, bukan setakat dosa mereka diampunkan bahkan dihapuskan terus dosa kesyirikan merekan. Itulah dia nikmat yang telah Allah berikan kepada Bani Israil. Nikmat pertama ialah bangsa mereka tidak dihapuskan sekaligus walaupun mereka telah melakukan kesyirikan dengan menyembah patung anak lembu sedangkan ada sahaja sebelum mereka yang telah Allah hapuskan kesemuanya hingga tiada keturunan. Nikmat kedua dalam ayat ini ialah dosa mereka telah Allah ampunkan.
Walaupun kesalahan syirik iaitu menyembah tuhan-tuhan lain selain Allah adalah dosa yang paling besar ianya bukanlah sampai tidak boleh diampunkan. Allah boleh sahaja mengampun dosa syirik dengan syarat kita bertaubat dengan meninggalkan kesyirikan dan kembali taat kepada perintan Allah. Bagaimana pun dosa syirik hanya boleh diampun selama mana kita masih hidup. Berbanding dengan dosa lain, setelah kita mati, sekiranya ada orang mendoakan keampuanan buat kita masih ada peluang untuk Allah ampun dosa kita itu.
Ayat 53
وَإِذ آتَينا موسَى الكِتٰبَ وَالفُرقانَ لَعَلَّكُم تَهتَدونَ
Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.
Satu lagi nikmat yang telah Allah berikan kepada Bani Israil selain diutuskan banyak nabi dan rasul dalam kalangan mereka ialah mereka dikurnikan kitab iaitu Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa as. Isi kandungan Taurat dalam hal tauhid sama sahaja dengan Al-Quran iaitu keduanya adalah pembeza di antara haqq dan bathil, di antara kebenaran dan kebatilan. Kitab Taurat mengajak kepada mentauhidkan Allah dan melarang dari melakukan syirik.
Wal-Furqan ditafsirkan kepada tiga keadaan; 1. Merujuk kepada kitab Taurat itu sendiri yang menjadi pembeza antara kebenaran dan kebatilan, 2. Merujuk kepada mukjizat yang di berikan kepada Nabi Musa as sebagai bukti kebenaran ajaran yang dibawa, 3. Hukum syariat yang terdapat dalam ajaran Taurat. Kitab Taurat diturunkan sebagai petunjuk. Apa-apa jenis petunjuk perlu dipelajari dan tidak cukup hanya pandai membacanya sahaja atau hanya berbangga yang dita telah diberikan kitab.
Ayat 54
وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ يَـٰقَومِ إِنَّكُم ظَلَمتُم أَنفُسَكُم بِاتِّخاذِكُمُ العِجلَ فَتوبوا إِلىٰ بارِئِكُم فَاقتُلوا أَنفُسَكُم ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم عِندَ بارِئِكُم فَتابَ عَلَيكُم ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ
Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.
Setelah Nabi Musa as turun dari Gunung Sinai dan mengetahui sebahagian dari kaumnya telah melakukan dosa syirik, Nabi Musa tetap memanggil mereka dengan panggilan yang baik. Pendakwah agama perlu mencontohi sikap para nabi dalam berdakwah, tugas mereka menyampaikan dengan tenang. Panggil orang yang cuba didakwahi itu dengan panggilan yang baik walau besar mana pun kesalahan mereka, tidak patut sekali menggelar seseorang itu dengan panggilan 'bodoh' hanya kerana memilih pendapat yang berbeza dengan kita.
Kaum Bani Israil disuruh supaya bertaubat dari kesyirikan itu. Mereka tidak mendapat apa-apa faedah dari penyembahan anak lembu itu dan sebenarnya mereka hanya menzalimi diri mereka sendiri dengan sangkaan mereka telah melakukan sesuatu yang baik. Mereka disuruh bertaubat kepada pencipta mereka iaitu Allah kerana anak lembu itu tiada kuasa untuk mencipta suatu apa pun.
Mereka yang tidak bersalah perlu membunuh mereka yang bersalah dalam melakukan kesyirikan dan kemurtaddan. Ternyata hukum bunuh kepada yang pelaku murtad bukan hanya syariat dalam Islam tetapi ia juga ada dalam syariat Nabi Musa. Bertaubat dan rela dibunuh itu lebih baik di sisi Allah kerana dengan Allah akan menerima taubat mereka. Allah senang sekali menerima taubat hambanya dan tiada seseorang tidak perlukan perantaraan apa pun dalam bertaubat.
Ayat 55
وَإِذْ قُلْتُمْ يَا مُوسَىٰ لَن نُّؤْمِنَ لَكَ حَتَّىٰ نَرَى اللَّهَ جَهْرَةً فَأَخَذَتْكُمُ الصَّاعِقَةُ وَأَنتُمْ تَنظُرُونَ
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.
Di antara banyak nikmat yang telah berikan kepada Bani Israil ialah seperti kisah di mana sebilangan dari mereka diberi peluang mendengar sendiri kalam Allah dan mengetahui bagaimana Taurat diturunkan kepada Nabi Musa as. Dikatakan 70 orang dan 70,000 orang dibenarkan mengikuti Nabi Musa naik ke Gunung Sinai dalam peristiwa ini. Setelah diperdengarkan kalam Allah, Bani Israil masih tidak puas hati.
Sikap Bani Israil yang tidak pernah puas hati itu sungguh kurang ajar, mereka masih tidak mahu mengikut kebenaran yang dibawa Nabi Musa dan mereka ingin melihat Allah pula. Oleh kerana permintaan mereka yang melampau Allah telah mematikan mereka dalam masa itu juga. Sebahagian yang lain melihat sendiri bagaimana sebahagian dari mereka mati bergelimpangan akibat disambar petir. Ada juga yang mengatakan pekikan suara kuat yang mematikan mereka.
Walaupun telah banyak nikmat Allah berikan kepada Bani Israil, mereka pun telah ditunjukkan banyak mukjizat namun mereka tidak mahu beriman kepada apa yang dibawa oleh Nabi Musa. Walaupun dalam kisah lain, Nabi Musa ada juga bermohon untuk melihat zat Allah, ini bukanlah kerana kesombongan tetapi kerinduan Nabi Musa kepada Allah. Dalam kisah lain Nabi Ibrahim juga ada meminta yang sama, tujuannya hanyalah untuk meningkatkan keimanan kepada Allah.
Ayat 56
ثُمَّ بَعَثنَـٰكُم مِّنۢ بَعدِ مَوتِكُم لَعَلَّكُم تَشكُرونَ
Kemudian Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.
Setelah 70 orang dari Bani Israil dimatikan, Nabi Musa berasa bimbang dia akan dituduh sebagai pembunuh oleh kaumnya lalu Nabi Musa berdoa kepada Allah supaya dibangkitkan mereka semua. Ini disebut dalam surah Al-'Araf ayat 155. Dalam Al-Quran ada beberapa kisah di mana orang mati dihidupkan semula oleh Allah seperti; 1. Kisah Nabi Isa (Ali-Imrah 49), 2. Nabi Musa (Al-Baqarah 73), 3. Bani Israil pengecut (Al-Baqarah 243), 4. Uzair (Al-Baqarah 259), 5. Empat ekor burung (Al-Baqarah 260).
70 orang yang dihidupkan semula itu kemudiannya bertaubat dan menceritakan perkara itu kepada Bani Israil yang tidak ikut. Namun mereka tidak mempercayainya walaupun mereka sendiri memilih orang tertentu yang boleh dipercayai. Mereka mengatakan 70 orang ini telah berpakat dengan Nabi Musa dan telah diberikan imbuhan oleh Nabi Musa. Inilah nikmat yang dikurnikan Allah kepada 70 orang dari Bani Israil dengan menghidupkan semula supaya dapat mereka bertaubat dan bersyukur (taat).
Ayat 57
وَظَلَّلنا عَلَيكُمُ الغَمامَ وَأَنزَلنا عَلَيكُمُ المَنَّ وَالسَّلوىٰ ۖ كُلوا مِن طَيِّبَـٰتِ ما رَزَقنَـٰكُم ۖ وَما ظَلَمونا وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ
Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami berfirman): “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.
Setelah menerima Taurat, Nabi Musa menyeru Bani Israil untuk kembali ke Palestin supaya mereka dapat mengamalkan syariat dengan sempurna. Bagaimana pun ketika itu ada kaum Amaliqah (Amalek) yang menguasai Palestin dan kaum ini sangat ganas. Kaum ini perlu diperangi dahulu supaya dapat mengusai Palestin. Nabi Musa telah menyatakan bahawa Allah telah menjaminkan kemenangan buat mereka tetapi mereka tidak mahu ikut berperang bahkan meminta Nabi Musa berperang bersama Allah untuk mengalahkan kaum Amaliqah (Al-Maidah 24).
Akibat dari kata-kata kurang ajar Bani Israil itu maka Allah telah sesatkan mereka di suatu tempat berrnama Padang Tih selama 40 tahun. Setelah 40 tahun barulah anak cucu mereka dapat keluar dari kawasan kecil yang mana Allah telah sesatkan mereka itu. Dalam masa 40 tahun itu Nabi Musa telah wafat dan Nabi Yusha' Bin Nun yang mengetuai Bani Israil dalam menakluk Palestin.
Sewaktu Bani Israil disesatkan oleh Allah akibat keceluparan kata-kata mereka, Allah tetap memberi nikmat kepada mereka iaitu naungan awan yang meliputi mereka dari panas matahari. Selain itu Allah kurnikan makanan buat mereka berupa Manna dan Salwa. Dikatakan Manna merupakan beberapa campuran bahan dalam bentuk manisan yang terdiri dari bahan utamanya gandum manakala Salwa pula adalah sejenis burung yang sedap dagingnya. Cukupkan keperluan karbohidrat dan protien buat mereka selain mereka sentiada diberi air hujan dan air dari batu hasil ketukan tongkat Nabi Musa.
Ada yang mengatakan Manna dan Salwa adalah makanan dari syurga namun tiada dalil sohih berkenaan ini, apapun kurniaan Allah khusus buat mereka ini sudah pasti makanan yang istimewa dan baik. Nabi Musa mengajarkan kaumnya supaya tidak menyimpan daging kerana takut tidak mendapat rezeki kemudiaannya, disebabkan mereka tidak percaya dengan rezeki Allah maka Allah telah tetapkan bermula ketika itu daging yang mereka simpan akan membusuk. Pengajaran buat kita agar tidak terlalu risaukan rezeki yang mendatang dan tidak menyimpan-nyimpan makanan, berapa banyak makanan yang disimpan-simpan akhirnya terbuang.
Allah tidak terkesan sedikit pun dengan perangai mereka bahkan Allah berikan pula perlindungan dan makanan yang istimewa buat mereka ketika mereka disesatkan selama 40 tahun itu. Hakikatnya Allah tidak perlukan ketaatan manusia dan darjat Allah tetap tinggi bahkan kitalah yang memerlukan redha Allah dengan ketaatan. Allah tidak pernah rasa teraniaya atau terzalimi bahkan manusia sendirilah yang menzalimi diri mereka sendiri apabila tidak mengikut syariat.
وَإِذ قُلنَا ادخُلوا هٰذِهِ القَريَةَ فَكُلوا مِنها حَيثُ شِئتُم رَغَدًا وَادخُلُوا البابَ سُجَّدًا وَقولوا حِطَّةٌ نَغفِر لَكُم خَطَـٰيَـٰكُم ۚ وَسَنَزيدُ المُحسِنينَ
Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘Ya Allah ampunilah dosa kami’; supaya Kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.
Setelah Bani Israel disesatkan selama 40 tahun kerana mengingkari arahan untuk berjihad untuk membuka Baitul maqdis dengan melawan kaum Amaliqah, mereka diganti dengan keturunan mereka yang mengikuti Nabi Yusha' as. Allah telah memudahkan bagi mereka menakluk Baitul Maqdis dan mengalahkan kaum Amaliqah. Apabila telah memasuk kota itu mereka dibenarkan untuk makan apa sahaja yang ada di dalamnya dan mereka dibenarkan makan sepuas-puasnya. Inilah nikmat besar yang Allah berikan kepada mereka.
Sebelum mereka dapat makan apa yang ada di dalamnya, Allah menetapkan syarat supaya mereka bersujud kepada Allah, mereka perlu masuk dengan rasa rendah diri dan meminta ampun kepada Allah atas kesalahan mereka sebelum itu. Bayangkan bangsa yang disesatkan di Padang Tih, dengan serba kekurangan malah makanan pun Allah yang berikan berupa Manna dan Salwa kemudian dapat menakluk bandar yang ada serba serbi keperluan. Mereka tidak berlu lagi tinggal di padang tandus berbumbungkan awan.
Setelah mereka masuk dengan tunduk merendah diri dan bersujud mereka dijanjikan dengan keampunan. Bukan sahaja keampunan malah darjat mereka ditinggikan bagi mereka yang berbuat kebaikan setelah bertaubat. Disebut juga tetap ada sebahagian mereka yang tidak mahu ikut syarat yang telah Allah tetapkan dengan masuk ke dalam kota Baitul Maqdis dengan mengensot dan masuk dengan bahagian punggung terlebih dahulu semata-mata untuk mengingkari arahan. Betapa susahnya Bani Israil ini hendak mengikut arahan Allah.
فَبَدَّلَ الَّذينَ ظَلَموا قَولًا غَيرَ الَّذي قيلَ لَهُم فَأَنزَلنا عَلَى الَّذينَ ظَلَموا رِجزًا مِّنَ السَّماءِ بِما كانوا يَفسُقونَ
Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah Kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu, bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka).
Allah memerintahkan Bani Iarail untuk masuk ke Baitul Maqdis dengah sujud dan tunduk tetapi sebahagian mereka masuk dengan mengensot dengan punggung yang masuk dahulu. inilah perangai Yahudi yang cukup susah untuk mengikuti arahan. Tidak terkesan pun kemuliaan Allah atas perbuatan mereka bahkan mereka hanya menzalimi diri mereka sendiri. Selain itu mereka mengubah perkataan di dalam Al-Quran dengan tujuan untuk mengejek.
Mereka menukar perkataan حِطَّةٌ kepada perkataan hampir sama حِنطَةٌ. Mereka ubah perkataan 'meminta keampunan' kepada 'meminta gandum'. Sebarang perkataan yang Allah turunkan melalui kitab-kitabnya tidak boleh diubah dan hukum mengubah perkataan dalam Al-Quran adalah haram. Di zaman ini ada juga yang berani cuba mengubah perkataan dalam Al-Quran seperti mengubah استَوَى kepada استَولَى yang mengubah perkataan 'beristiwa' kepada 'menguasai'.
Allah murka dengan perbuatan mereka yang mengganti perkataan dalam kitab mereka. Bani Israil juga suka menggantikan sesuatu suruhan dengan suatu yang berlawanan dengannya. Oleh itu, mereka ditimpa bala dari langit. Bala yang dimaksudkan di sini adalah wabak penyakit taun. Perkataan رِجْزٌ juga digunakan dalam hadith yang merujuk kepada wabak penyakit taun.
Daripada [‘Amir bin Abu Waqqas] daripada bapanya, bahawasanya dia mendengar bapanya bertanya kepada Usamah bin Zaid, “Apa yang kamu dengar daripada Rasulullah ﷺ tentang penyakit tha’un?” [Usamah] menjawab, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Tha’un adalah seksaan yang dikirim Allah kepada sekelompok orang daripada Bani Isra`il, atau kepada orang-orang sebelum kalian. Jika kalian mendengarnya berada di suatu negeri maka janganlah kalian memasukinya. Dan jika penyakit itu berada di negeri yang kalian tinggal, maka janganlah kalian keluar melarikan diri daripadanya.” Malik berkata; Abu Nadr berkata; “Tidak ada yang mengeluarkan kalian kecuali (kerana ingin) lari daripadanya.” (Sahih Bukhari (1392)).
Kefasikan Bani Israil dalam kisah ini ialah; 1. Mengubah perkataan dalam kitab, 2. Melakukan perkara yang berlawanan dengan perintah. Mereka telah menzalimi diri mereka sendiri dengan mengelak dari diampunkan Allah. Sebagaimana Nabi Adam as telah diajar cara memohon keampunan, mereka juga diajar cara untuk memohon keampunan. Perkataan يَفسُقونَ adalah dalam bentuk present tense sedangkan peristiwa ini telah berlaku, ini menunjukkan kedegilan Yahudi ini sama sahaja dai zaman Nabi Musa hingga ke zaman Nabi Muhammad hinggalah ke akhir zaman.