Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 7 (Ayat 60-61)
Ruku' ketujuh dari 40 ruku' dalam surah terdiri dari dua ayat sahaja iaitu ayat 60 dan 61. Dalam ruku' ini ia menceritakan tentang beberapa perkara iaitu mukjizat Nabi Musa as yang diberi kelebihan untuk mengeluarkan air dari batu, carita bagaimana Bani Israil yang meminta makanan lain pula walaupun telah diberikan manna dan salwa dari langit seterusnya kisah bagaimana Bani Israil yang suka melanggar kepatuhan dalam ibadah dan sikap mereka yang zalim kepada diri mereka sendiri.
Ayat 60
وَإِذِ ٱسۡتَسۡقَىٰ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِۦ فَقُلۡنَا ٱضۡرِب بِّعَصَاكَ ٱلۡحَجَرَۖ فَٱنفَجَرَتۡ مِنۡهُ ٱثۡنَتَا عَشۡرَةَ عَيۡنٗاۖ قَدۡ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٖ مَّشۡرَبَهُمۡۖ كُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ مِن رِّزۡقِ ٱللَّهِ وَلَا تَعۡثَوۡاْ فِي ٱلۡأَرۡضِ مُفۡسِدِينَ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, (dia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi”.
Walaupun kaum Nabi Musa as sangat degil dalam mengikut perintah Allah namun apabila kaumnya memerlukan doa mereka tetap meminta Nabi Musa untuk mendoakan agar mereka dikurniakan air. ini menunjukkan kita boleh meminta orang berdoa untuk kita selagi orang itu masih hidup. Nabi Musa sendiri berdoa untuk kaumnya walaupun ada mereka adalah kaum yang ingkar dan suka menentang kebenaran.
Dari [‘Abdullah ra] bahawa Nabi saw melaksanakan puasa wishal (puasa terus tanpa berbuka) lalu orang-orang mengikutinya yang mengakibatkan mereka kepayahan. Maka baginda melarang mereka melakukannya. Namun mereka berkata: “Tetapi, bukankah baginda melakukan puasa wishal?”. Baginda bersabda: “Aku tidak sama dengan keadaan kalian kerana aku senantiasa diberi makan dan minum”. Sahih Bukhari (1788).
Allah memerintahkan Nabi Musa memukul dengan tongkatnya ke atas batu lalu terpancutlah air dari batu. Allah boleh sahaja memberikan terus sesuatu perkara tetapi pengajaran yang boleh diambil ialah kita perlu juga berusaha setelah berdoa meminta sesuatu. Air yang dikeluarkan dari batu juga adalah perlian kepada Bani Israil yang hatinya degil seperti batu (Al-Baqarah 74).
Bilangan mata air yang muncul ialah 12 kerana Bani Israil terdiri dari 12 puak yang berbeza. Setiap puak mendapat mata airnya masing-masing (Al-'Araf 160). Ini menunjukkan mereka ini sebenarnya mementingkan puak mereka, mereka bukan jenis kaum yang boleh berkongsi. Jika mereka perlu berkongsi mereka akan bergaduh dan sanggup berbunuhan kerananya. Apabila setiap puak ada punca airnya sendiri maka mereka dapat hidup dengan aman.
Apa yang telah Allah kurniakan mereka boleh sahaja makan dan minum daripadanya. Air merupakan nikmat yang besar, besar fungsi air dalam membentuk sesebuah tamadun. Apatah lagi di negara beriklim panas, keperluan air amatlah mendesak. Setelah Allah kurniakan semua nikmat itu itu Allah minta mereka agar tidak membuat kerosakan dalam ibadah dan syirik. Hingga ke hari ini mereka tetap melakukan kerosakan dan ramai pula yang mengikuti perangai mereka.
Ayat 61
وَإِذۡ قُلۡتُمۡ يَٰمُوسَىٰ لَن نَّصۡبِرَ عَلَىٰ طَعَامٖ وَٰحِدٖ فَٱدۡعُ لَنَا رَبَّكَ يُخۡرِجۡ لَنَا مِمَّا تُنۢبِتُ ٱلۡأَرۡضُ مِنۢ بَقۡلِهَا وَقِثَّآئِهَا وَفُومِهَا وَعَدَسِهَا وَبَصَلِهَاۖ قَالَ أَتَسۡتَبۡدِلُونَ ٱلَّذِي هُوَ أَدۡنَىٰ بِٱلَّذِي هُوَ خَيۡرٌۚ ٱهۡبِطُواْ مِصۡرٗا فَإِنَّ لَكُم مَّا سَأَلۡتُمۡۗ وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلۡمَسۡكَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya”. Nabi Musa menjawab: “Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu”. Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.
Walaupun Bani Israil diberikan Manna dan Salwa iaitu makanan khas dari langit namun mereka masih tidak puas hati. Begitulah sikap mereka yang melampau. "Rasulullah SAW tidak pernah mencela makanan. Jika baginda berkeinginan untuk memakannya, baginda akan memakannya; dan jika baginda tidak suka, baginda akan meninggalkannya." Riwayat Bukhari (5409) dan Muslim(2064).
Cara Bani Israil sungguh kurang ajar, mereka memanggil Nabi Musa hanya Musa sahaja. Mereka juga minta Musa berdoa kepada tuhan Nabi Musa untuk mereka. Sikap mereka yang sentiasa melawan kebenaran menyebabkan mereka tahu doa mereka sendiri tidak akan dikabulkan. Sekarang mereka mahukan makanan dari tanah pula. Makanan yang mereka pinta ialah dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya.
Permohonan doa mereka tidak dilayan oleh Nabi Musa malah menempelak mereka kerana mahukan suatu yang rendah nilainya dengan suatu yang lebih tinggi nilainya iaitu makanan Manna dan Salwa. Nabi Musa menyuruh mereka ke bandar untuk makan makanan yang lain. Atas perai mereka itu jadilah mereka bangsa yang dihina sampai ke hari ini. Mereka sangka mereka bangsa yang hebat tetapi mereka dikutuk seluruh dunia.
Bani Israil akan kembali di hari Akhirat dengan lebih hina lagi. Mereka sangat layak untuk dimurkai Allah. Semuanya adalah berpunca dari mereka kufur kepada ayat-ayat Allah. Walaupun mereka banyak melihat mukjizat namun mereka jenis yang tidak mahu beriman. Tidak cukup dengan mengingkari ayat-ayat Allah, mereka bunuh pula nabi-nabi yang ada. Antara yang telah dibunuh ialah; Nabi Syuaib, Nabi Zakaria dan Nabi Yahya. Mereka juga cuba membunuh Nabi Isa tapi Allah menyelamatkan Nabi Isa dan mengangkat baginda ke langit.
Tamat ruku’ 7 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah.
Terima kasih tuan
BalasPadamTerima kasih tuan
BalasPadam