Rabu, Mac 05, 2025

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 9 (Ayat 72-82)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 9 (Ayat 72-82)

Ayat 72

وَإِذْ قَتَلْتُمْ نَفْسًا فَادَّارَأْتُمْ فِيهَا ۖ وَاللَّهُ مُخْرِجٌ مَّا كُنتُمْ تَكْتُمُونَ

Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan.

  1. Ada penafsir yang mengaitkan kisah ini dengan kisah penyembelihan lembu sebelum ini tetapi kisah itu adalah dari sumber Yahudi, sebenarnya ia adalah kisah lain yang menceritakan perangai buruk Yahudi iaitu kisah anak saudara yang membunuh pakciknya untuk mendapatkan harta kemudian mayatnya pakciknya diletakkan di kampung yang ada musuh kepada pakciknya dan kemudian dia menuduh pula orang lain yang membunuh pakciknya.

  2. Sebenarnya memang dia akan mewarisi harta pakciknya itu kerana pakciknya tiada waris lain, cuma dia sudah tidak sabar untuk mendapat harta sebagai habuan dunia. Setelah terjadinya pembunuhan itu berlakulah tuduh menuduh di antara mereka, sebahagian mereka mengetahui pembunuh sebenar tetapi berpakat menyembunyikan perkara yang sebenar.

  3. Begitulah perangai buruk Bani Israil, walaupun yang membunuhnya seorang tetapi yang lain berpakat untuk menyembunyikan kesalahan seorang pemuda itu. Bukan sahaja mereka menyembunyikannya tetapi mereka tuduh pula orang lain yang membunuh sehingga hampir sahaja tercetus peperangan akibat peristiwa ini. Allah tetap sahaja akan memperlihatkan apa sahaja perkara buruk yang cuba disembunyikan.

  4. Ayat ini adalah amaran kepada: 1. Yahudi di zaman Nabi Muhammad saw yang menyembunyikan kenabian Nabi Muhammad yang ada dalam kitab mereka, 2. Munafiqin dalam kalangan umat Islam di zaman Rasulullah, 3. Kita semua yang membaca Al-Quran. Ini adalah amaran supaya tidak menyembunyikan kebenaran, apa sahaja helah yang dibuat lambat laun kebenaran akan tetap terzahir lalu malu di atas ketidak jujuran.

Ayat 73

فَقُلنَا اضرِبوهُ بِبَعضِها ۚ كَذٰلِكَ يُحيِي اللَّهُ المَوتىٰ وَيُريكُم ءَايَـٰتِهِ لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

Maka Kami (Allah) berfirman: “Pukullah si mati dengan sebahagian darinya” (Mereka pun memukulnya dan dia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.

  1. Terdapat perbezaan pendapat dari kalangan ulama tentang benda yang perlu dipukul kepada mayat manusia itu; 1. Ada yang mengatakan pukul dengan anggota lembu, 2. Ada yang mengatakan pukul dengan anggota tubuh mayat itu sendiri kerana cerita ini tiada kaitan dengan cerita perintah Allah kepada Bani Israil untuk menyembelih lembu. Keduanya boleh dipegang bagaimana pun pendapat pertama seperti memuliakan lembu pula.

  2. Sama seperti kisah ketukan tongkat Nabi Musa as, Allah boleh sahaja keluarkan terus air dari batu tetapi Allah ajar kita berusaha, kisah menghidupkan orang mati ini juga begitu, perlu patuh arahan sebagai tanda usaha baru mayat itu hidup kembali. Ada kisah-kisah lain dalam Al-Quran yang menunjukkan Allah menghidupkan semula orang mati, tiada yang mustahil bagi Allah dan keajaiban sebegini semuanya dari Allah.

  3. Setelah orang itu kembali hidup, dia memberitahu kepada Nabi Musa as bahawa anak saudaranyalah yang membunuhnya demi untuk mendapat harta dengan cepat. Setelah itu dia pun dimatikan semula atas kehendak Allah jua. Mungkin kita dapat tahu apakah hikmah sesuatu perbuatan itu, dan mungkin sahaja akal kita tidak mampu memahaminya. Yang penting kita kena taat kepada Allah dan jangan berpakat dalam menyembunyikan kebenaran.

Ayat 74

ثُمَّ قَسَت قُلوبُكُم مِّن بَعدِ ذٰلِكَ فَهِيَ كَالحِجارَةِ أَو أَشَدُّ قَسوَةً ۚ وَإِنَّ مِنَ الحِجارَةِ لَما يَتَفَجَّرُ مِنهُ ٱلأَنهَـٰرُ‌ۚ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَشَّقَّقُ فَيَخرُجُ مِنهُ الماءُ ۚ وَإِنَّ مِنها لَما يَهبِطُ مِن خَشيَةِ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.

  1. Setelah banyak kisah tentang Bani Israil ditunjukkan, Allah megumpamakan hati mereka keras seperti batu. Bahkan ada yang lebih keras dari batu untuk menerima kebenaran. Mereka telah dikurniakan akal dan ilmu yang tinggi, ditunjukkan pelbagai perkara ajaib supaya mereka beriman. Ayat ini adalah sebagai panduan kepada Arab di Madinah di mana di sekitar mereka tinggal cucu cicit keturunan Yahudi.

  2. Allah menggunakan perumpamaan batu sebagai hati dan air sebagai iman. Ada batu yang menjadi tempat keluarnya air, orang sebegini sentiasa mencari kebenaran. Akalnya tidak didorongi hati (nafsu). Orang sebegini tiada masalah untuk berubah, ia boleh digambarkan seperti Saidina Abu Bakar Al-Siddiq ra yang menerima Islam dengan mudah walaupun pelbagai ujian perlu ditempuhi. Apa yang ada dalam Al-Quran dan Sunnah diikuti sepenuhnya, dan mudah menyanggahi perkara ibadah yang tiada dalam sunnah.

  3. Perumpaan kedua ialah batu yang perlu dipecah dan dibelah untuk mendapat mata air. Perlu pendakatan berbeza kepada orang yang hatinya agak keras sebegini, contohnya ialah Saidina Umar Al-Khattan ra. Sebelum menerima Islam dia sangat memusuhi Islam, bahkan pernah berperang dan menyeksa orang Islam. Atas dakwah Nabi saw yang berterusan dan izin Allah baru hatinya menerima kebenaran.

  4. Perumpaan ketiga ialah batu yang jatuh ke bawah kerana takutkan Alllah. Kadang kala batu di bukit atau gunung akan jatuh secara tiba-tiba. Orang yang hatinya sebegini sebenarnya ada sedikit iman di dalam hatinya, di atas peristiwa tertentu hatinya berubah secara tiba-tiba untuk menerima Islam. Banyak terjadi orang masuk Islam secara tiba-tiba contohnya ketika sedang sakit, melihat kebesaran Allah, apabila diuji, apabila mengkaji Al-Quran (tadabbur).

  5. Dalam Surah Al-Isra ayat 44 Allah berfirman: “Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.” Batu yang dilihat kaku tidak bergerak semuanya sentiasa sedang bertasbih kepada Allah. Kita yang banyak diberi nikmat jangan kalah untuk sentiasa memuji, membersar dan meninggikan Allah.

Ayat 75

أَفَتَطمَعونَ أَن يُؤمِنوا لَكُم وَقَد كانَ فَريقٌ مِّنهُم يَسمَعونَ كَلٰمَ اللَّهِ ثُمَّ يُحَرِّفونَهُ مِن بَعدِ ما عَقَلوهُ وَهُم يَعلَمونَ

(Sesudah kamu – wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu – mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?

  1. Allah memberitahu kepada Nabi saw dan para sahabatnya yang telah Islam supaya dalam berdakwah kepada Yahudi di Madinah, janganlah terlalu berharap mereka akan dengan mudah menerima Islam. Sedangkan nenek moyang mereka dahulu mempermainkan kata-kata Allah apatah lagi kata-kata manusia. Rasulullah saw berharap sangat dapat mengislamkan seramai mana manusia, tidak henti-henti dakwahNya dari di Mekah hinggalah di Madinah.

  2. Keinginan Nabi saw untuk mengajak orang kepada Islam hampir sahaja membinasakan dirinya hinggakan Allah mengingatkan dalam surah Al-Syura 3 dan Al-Kahfi 6: "Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini." Apapun ayat ini bukanlah bermaksud supaya dakwah dihentikan.

  3. Pembesar Yahudi di Madinah bukan tidak tahu malah mereka telah pun mendengat ayat-ayat Allah lebih awal dari kitab mereka, mereka juga menunggu pembawa berita gembira yang memberi peringatan iaitu Nabi Muhammad saw. Nenek moyang mereka dahulu melihat sendiri bagaimana wahyu diturunkan kepada Nabi Musa as di Bukit Thur. Walaupun mengetahui tetapi kemudian mereka mengubahnya.

  4. Betapa buruknya perangan pembesar yahudi, mereka mengubah dengan tukar, buang atau tambah apa yang ada dalam taurat supaya selari dengan kehendak mereka. Apa yang halal mereka haramkan dan apa yang haram mereka halalkan, selain itu mereka juga ubah tafsiran kepada ayat mengikut hawa nafsu mereka. Mereka bukanlah ubah kerana jahil bahkan mereka telah pun faham pada mulanya.

  5. Walaupun ayat ini menceritakan jahatnya ahli kitab dalam kalangan yahudi, kita juga perlu berhati-hati dengan ahli kitab Al-Quran di zaman ini, walaupun seburuk-buruk orang Islam tiada yang berani mengubah ayat Al-Quran atau perkataan dalam Al-Quran, mungkin terdapat usaha-usaha untuk mentafsirkan Al-Quran mengikut akal dan hawa nafsu sendiri, mungkin ada yang menyembunyikan ayat tertentu kerana tidak kena dengan selera mereka.

Ayat 76

وَإِذا لَقُوا الَّذينَ آمَنوا قالوا آمَنّا وَإِذا خَلا بَعضُهُم إِلىٰ بَعضٍ قالوا أَتُحَدِّثونَهُم بِما فَتَحَ اللَّهُ عَلَيكُم لِيُحاجّوكُم بِهِ عِندَ رَبِّكُم ۚ أَفَلا تَعقِلونَ

Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah) bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami telah beriman”; dan apabila mereka berjumpa sesama sendiri, mereka berkata: “Patutkah kamu ceritakan kepada mereka (orang-orang Islam) dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada kamu (di dalam Kitab Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad) untuk menjadikannya sebagai hujah (bukti) yang dapat mengalahkah kamu di sisi Tuhan kamu? Tidakkah kamu berakal?”

  1. Orang awam di kalangan Yahudi ada yang berurusan dengan para sahabat nabi saw terutamanya dalam perniagaan, mereka telah didakwah dengan dakwah Islam, apa dibacakan ayat-ayat Al-Quran, keterangan tentang kedatangan nabi akhir mereka meniyakannya. Semuanya telah mereka tahu tentangnya dari kitab Taurat dan ajaran Yahudi. Berbeza dengan pendeta atau para alim dalam kalangan Yahudi, mereka tidak mahu mengiyakannya.

  2. Apabila orang awam Yahudi menceritakan tentang persamaan itu kepada pendeta mereka, mereka dimarahi kerana telah membongkarkan rahsia. Mereka menambah ayat dengan mengatakan Nabi Muhammad saw itu diutuskan hanya untuk orang Arab sahaja. Mereka tidak mahu perkara ini diketahui oleh kaum muslimin kerana bimbang ia akan dijadikan hujah untuk mengajak Yahudi kepada Islam. Mereka juga tidak mahu ia dijadikan hujah di hadapan Allah.

  3. Dalam surah Al-Baqarah ayat 146 Allah menyebut: "Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian)."

Ayat 77

أَوَلا يَعلَمونَ أَنَّ اللَّهَ يَعلَمُ ما يُسِرّونَ وَما يُعلِنونَ

(Mereka berani berkata demikian) dan tidakkah mereka ketahui bahawasanya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan?

  1. Patutkah ulama Yahudi itu memberi arahan sedemikian kepada orang bawahan mereka? Iaitu arahan melarang pengikut mereka membocorkan rahsia kebenaran Islam di dalam ajaran Yahudi sendiri. Mereka mungkin boleh merahsiakannya dari manusia tetapi mereka tidak dapat merahsiakannya dari Allah, hakikatnya orang Islam ketika itu mengetahuinya dari orang awam Yahudi dan juga melalui Al-Quran yang diturunkan.

  2. Allah bukan sahaja tahu apa yang dibincangkan oleh ulama Yahudi bahkan apa di dalam hati mereka pun Allah mengetahui seperti dalam firman di dalam Surah Taha 7: "Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi." Dalam berdoa tidak semestinya doa yang kuat lebih baik dari doa perlahan, tidak semestinya doa beramai-ramai lebih baik dari doa bersendirian.

  3. Pengajaran kepada ulama Islam di zaman ini supaya tidak menyembunyikan ayat-ayat Allah atau memilih ayat tertentu yang tidak kontroversi, tiada ayat dalam Al-Quran yang patut disembunyikan kepada orang Islam atau orang bukan Islam. Tugas ulama ialah menyampaikan semua ayat-ayat Allah kepada semua, bukan hanya kepada orang Islam dan bukan hanya ayat-ayat yang mereka rasakan sesuai.

Ayat 78

وَمِنهُم أُمِّيّونَ لا يَعلَمونَ ٱلكِتَـٰبَ إِلّا أَمانِيَّ وَإِن هُم إِلّا يَظُنّونَ

Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang ‘buta huruf’, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.

  1. Allah menerangkan dalam kalangan Yahudi ada yang buta huruf (ummiy). Ummiy ini dari perkataan ummi iaitu ibu, ummiy ialah yang baru keluar dari rahim ibu. Seperti bayi, ia tidak tahu apa-apa langsung. Golongan ini tidak faham kitab yang diturunkan buat mereka dengan menyeluruh, mereka belajar dari penjelasan-penjelasan bohong pendeta Yahudi. Kelompok ini tidak berusaha mencari kebenaran tetapi mengaku beragama.

  2. Yang dimaksudkan dengan ummiy itu ialah golongan: 1. Tidak tahu isi kitab dengan menyeluruh, 2. Tidak faham tafsir, 3. Hanya menerima sahaja apa yang disampaikan tanpa mendalami, 4. Hanya menerima sahaja tanpa memahami dengan fahaman yang benar. Allah mencela orang yang tidak faham ilmu wahyu, bagaimana dapat hidup dengan selamat jika panduannya tidak kita tahu dengan mendalam.

  3. Iktibar juga kepada umat Islam sekarang terutamanya orang Melayu yang pandai baca Al-Quran, selalu melaziminya, tajwidnya bagus sekali tetapi tidak dapat memahami maksudnya, tidak juga berusaha mempelajari Al-Quran dan tidak menjadikannya petunjuk dalam kehidupan. Ilmu wahyu perlu difahami sebagaimana para salaf memahaminya, begitu juga dalam memahami sunnah yang ditinggalkan Rasulullah saw.

Ayat 79

فَوَيلٌ لِّلَّذينَ يَكتُبونَ ٱلكِتَـٰبَ بِأَيديهِم ثُمَّ يَقولونَ هٰذا مِن عِندِ اللَّهِ لِيَشتَروا بِهِ ثَمَنًا قَليلًا ۖ فَوَيلٌ لَّهُم مِمّا كَتَبَت أَيديهِم وَوَيلٌ لَّهُم مِّمّا يَكسِبونَ

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.

  1. Jika dalam ayat sebelum ini Allah tujukan kepada Bani Israil yang bersikap bodoh kerana menerima sahaja apa yang disampaikan orang alim mereka tanpa berusaha mencari kebenaran sebenar, ayat ini pula ditujukan kepada arang alim mereka sendiri. Tiga kali perkataan celaka (وَيلٌ) diulang dalam ayat ini menunjukkan betapa buruknya perbuatan mereka itu yang mengubah isi kandungan Taurat dengan sesuatu yang mereka reka sendiri.

  2. Mereka ini bukan sahaja mengubahnya dengan perkataan bahkan mereka ubah dengan tangan mereka sendiri, ini menunjukkan mereka bukan tersilap tetapi betul-betul mahu ubah apa yang telah Allah turunkan kepada Bani Israil. Bukan sahaja mereka ubah kitab Taurat tetapi mereka menulis kitab amalan baru yang bukan dari ajaran Nabi Musa as. Berhati-hati kerana dalam masyarakat kita pun ada kitab amalan yang bukan dari ajaran Muhammad saw.

  3. Mereka ubah sebahagian ayat berdasarkan nafsu mereka, yang mana menguntungkan mereka itulah yang disampaikan. Mana yang merugikan mereka, mereka akan ubah sesuka hati. Untung kita sebagai orang Islam kerana kitab Al-Quran telah dijamin akan dipelihara sekurang-kurangnya dari segi teksnya. Walaupun terjamin dipelihara dari segi teks ada juga sebahagian yang cuba mengubah maksud ayatnya.

  4. Setelah mereka ubah perkataan, ayat dan menambah ayat-ayat baru mereka claim pula ini semua adalah dari Allah kepada pengikut mereka. Serupa juga dengan orang yang beramal dengan amalan yang tidak sahih dari Allah dan rasul, mereka claim ini semua ada dalam Islam. Selain dari mengubah maksud dalam Al-Quran dan hadits, musibah besar umat Islam akhir zaman ini ialah apabila hukum-hukum di dalam Al-Quran ditukar. Ada yang mengatakan ianya hukuman yang zalim dan ketinggalan zaman.

Ayat 80

وَقالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودَةً ۚ قُل أَتَّخَذتُم عِندَ اللَّهِ عَهدًا فَلَن يُخلِفَ اللَّهُ عَهدَهُ ۖ أَم تَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?”

  1. Disebabkan beragama atas dasar sangkaan, sebahagian dari Bani Israil merasakan mereka akan selamat dari api neraka. Mereka sangka mereka adalah bangsa terpilih yang tidak akan disentuk oleh api neraka. Bagi mereka ilmu agama yang mereka ada telah mencukupi dan tidak perlu lagi mencari kebenaran atau menerima syariat yang dibawa Nabi Muhammad saw. Mereka anggap amalan mereka benar, tiada siapa dapat menentukan selamatnya dia dari api neraka.

  2. Bani Israil merasakan mereka berada dipihak yang benar sedangkan banyak sekali kesalahan yang telah mereka lakukan. Mereka juga sangka jika pun mereka melakukan kesalahan mereka hanya akan dimasukkan ke dalam neraka untuk beberapa hari sahaja. Pada hakikatnya mereka telah menolak syariat dua kali, pertamanya ketika nabi Isa as diangkat menjadi rasul dan ketika nabi Muhammad saw diangkat menjadi rasul.

  3. Walaupun saki-baki Bani Israil di zaman Nabi Muhammad dari keturunan yang mulia, di kalangan mereka diutuskan banyak nabi dan ramai orang-orang alim di kalangan mereka, ia tidak menjamin mereka untuk selamat dari api neraka. Mereka sangka agama yang mereka ikuti masih lagi benar sedangkan apabila diutuskan nabi Muhammad, syariat agama Yahudi dan Nasrani telah terbatal.

  4. Dalam Islam pun ada yang sanggup masuk neraka sebentar kemudian akan masuk syurga balik. Jika belajar ilmu tafsir dan hadis-hadis tentang azab neraka tiada yang sanggup melaluinya, orang yang punya pemikiran sebegini sebenarnya dipengaruhi syaitan. Bila beranggapan begini maka semua tuntutan dalam agama diremehkan, larangan pula dilanggar dan orang bebas melalukukan perkara yang mereka sangka benar atau baik hanya atas sangkaan sahaja.

  5. Allah perintahkan nabi saw bertanya kepada mereka, adakah mereka benar-benar telah dijanjikan keselamatan dari neraka? Kadang-kadang apabila berurusan dengan orang yang jahil ini lebih baik kita tidak menjawab, sebaliknya ajukan soalan. hakikatnya tiada pun jaminan yang mereka akan selamat dari api neraka. Tiada jaminan keselamatan buat mereka yang lahir dari keturunan baik, sama juga seperti mana nabi saw mengatakan yang jika anaknya Fatimah melalukan dosa, beliau sendiripun tidak dapat menyelamatkannya.

Ayat 81

بَلىٰ مَن كَسَبَ سَيِّئَةً وَأَحَـٰطَت بِهِ خَطيئَتُهُ فَأُولٰئِكَ أَصحَـٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خَـٰلِدُونَ

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan dia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

  1. Ayat ini dalam kategori ayat yang menakutkan atau dikenali sebagai ayat Takhwif. Betapa sangkaan Bani Israil tidak benar dan Allah beritahu perkara sebenar. Allah menidakkan sangkaan mereka yang mengatakan paling teruk pun mereka akan dimasukkan ke neraka sekejap sahaja. Bukan sahaja mereka telah melakukan kesalah bahkan kesalahan mereka ada besar iaitu antaranya syirik kepada Allah. Ancaman ini bukan hanya merujuk kepada Yahudi tetapi kepada siapa sahaja, mereka sangka mereka beramal untuk pahala tetapi sebenarnya mereka melakukan syirik.

  2. Dosa syirik itu meliputi mereka sehingga mereka mati, mereka tidak bertaubat atas dosa-dosa mereka. "Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat." (Riwayat Ibn Majah (4392) Status: Hasan). Berbeza dengan orang mukmin, dosa mereka tidak meliputi mereka hingga mati. Orang Mukmin cepat sedar akan kesalahannya dan segera bertaubat. Orang Mukmin sentiasa berhati-hati dari melakukan dosa-dosa besar terutamanya syirik.

  3. Bani Israil yang tidak bertaubat dan menerima Islam sebagai agama benar akan menjadi ahli neraka, mereka akan kekal di dalamnya selamanya. Mereka tidak akan keluar langsung dari neraka, Allah menekankan perkara ini kerana mereka menyangka mereka bangsa istimewa, mereka anak cucu dari para alim ulama, ada di kalangan mereka anak cucu nabi maka mesti Allah akan selamatkan. Paling teruk pun mereka sangka mereka akan dimasukkan ke dalam neraka sekejap sahaja. Hakikatnya itu semua tidak menjamin keselamatan, dosa syirik tiada galang gantinya kecuali kekal di dalam neraka.

Ayat 82

وَالَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُولٰئِكَ أَصحَـٰبُ الجَنَّةِ ۖ هُم فيها خَـٰلِدُونَ

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.

  1. Selepas diberikan dengan ayat Takhwif (ancaman) dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ memberikan ayat Tabshir (menggembirakan) pula pada ayat ini. Jika sebelum ini diterangkan siapa ahli neraka yang kekal di dalamnya, sekarang diterangkan pula siapa ahli syurga yang kekal di dalamnya. Aturannya ialah dengan beriman dengan apa yang patut diimani dengan sempurna.

  2. Setelah beriman dengan iman yang sempurna seterusnya untuk kekal di dalam syurga seseorang itu perlulah beramal dengan amalan yang soleh, amalan boleh jadi amalan yang baik dan boleh jadi amalan yang buruk. Amalan yang baik ialah amalan yang telah dicontohkan oleh Nabi saw. Amalan yang baik semestinya mempunyai dalil yang sahil dari Al-Quran dan hadits nabi saw.

Selesai ruku' 9 dari 40 ruku' Surah Al-Baqarah.

Jumaat, Februari 28, 2025

Bermandikan Ink Printer

Assalamualaikum dan selamat malam. Baru sahaja tadi diumumkan kita akan mula berpuasa pada hari Ahad seperti mana jangkaan mengikut kiraan. Walaupun kiraan biasanya tepat bagai manapun kita tetap perlu rukyah anak bulan seperti arahan di dalam Surah Al-Baqarah 185 yang petikannya seperti berikut; "Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu." Bermakna kena menyaksikan, jika tidak kena lengkapkan 30 hari bulan Sya'ban setelah itu baru puasa seperti yang berlaku kali ini.

Catatan kali ini berkisar perkara yang berlaku pagi tadi. Sebenarnya hari semalam ada dapat call mengatakan ada printer problem di satu unit tu. Bila dia bagitahu error yang keluar aku dah tahu apa problemnya. Ada satu model ni memang selalu ada masalah ink leaking bila absorber full. Jadi kena hantar sahaja printer tu kat bilik IT dan aku dah minta diorang hantar. Pagi tadi tiba-tiba muncul in-charge yang menjaga unit tu minta tolong untuk ambilkan kerana katanya orang di tempat tu semuanya tak pandai nak cabut cable dan hantar, aku masa tu tengah cek-cek email dan aku pun ok sahajalah untuk bantu. Lepas tu aku bawalah balik printer tu ke Bilik IT, jauh juga jaraknya antara unit tu dengan Bilik IT aku kira mungkin dalam 100m atau kurang sedikit.

Sampai di Bilik IT bila nak letak printer tu baru perasan ink tumpah keluar, cek-cek rupanya habis kena baju, seluar dan kasut aku. Nasib baik aku pakai baju hitam dan seluar kelabu gelap. Terpaksalah minta dengan boss untuk balik sekejap tukar baju. Memang kena rendam cepat-cepat kalau tidak mungkin berbekas tempat kena ink tu. Balik semula ke tempat kerja dengan baju ganti. Capai mana yang ada sahaja sebab nak cepat. Bila sampai pejabat balik kecoh sebenarnya satu hospital. Rupanya ink tu dah meleleh sepanjang perjalanan 100m tu. Sempat kena bebel sikit dengan cleaner, nak buat macam mana bukan salah aku pun huhuhu. 

 

Khamis, Februari 27, 2025

Travelog Monumen Semulajadi Vrelo Bosne, Terowong Sarajevo, Kota Mostar Dan Dicopet di Blagaj (Bosnia Herzegovina)

Assalamualaikum dan selamat pagi. Ada perkara yang kurang baik berlaku dalam catatan kali ini jadi sila cekalkan diri untuk membaca perkongsian ini hingga habis kerana ia berada di hujung catatan. Catatan kali ini agak panjang sedikit kerana ia meliputi 4 tempat persinggahan. Catatan ini adalah sebahagian dari catatan travelog Balkan 2025. Kami memulakan perjalanan dari hotel di Sarajevo seawal pagi menuju ke Mostar iaitu sebuah bandar lama di Herzegovina. Dalam perjalanan kami singgah di dua tempat persinggahan, untuk trip ini boleh dikatakan semua tempat yang kami singgah adalah destinasi utama yang dilawati pelancong, bukan itu sahaja kebanyakan telah digazet sebagai UNESCO World Heritage Center

Destinasi pertama yang kami lawati ialah Vrelo Bosne. Tempat ini telah digazetkan sebagai nature monument. Saya kira macam Taman Negara juga, bila dah digazetkan  tak boleh digunakan tanahnya untuk pembangunan lagi. Cuma yang kami lawati ini betul-betul terjaga kesemulajadiannya. Melawat kawasan Vrelo Bosne ini di waktu pagi memang menenangkan hati, setelah banyak menghabis masa di bandar kali ini ke kawasan hutan pula, banyak pokok maple di sini, usianya mencecah hingga 100 tahun. Kami disambut dengan sebuah tasik yang sangat jernih airnya, dari mata kasar kita boleh nampak dasar sungai yang berpasir, berbatu dan berlumut hijau. Di atasnya itik-itik berenang dengan bebas tanpa rasa takut dengan kehadiran kami. Dan di antara tasik ini ada pula sungai-sungai yang menghubunginya menjadikan lanskap di sini sangat cantik. Burung-burung berkicauan di antara bunyi air menjadi suasana seakan berhenti seketika. Di sini kami sempat merakam gambar di satu spot dengan harga 5 Euro, gambar dicetak terus oleh seorang jurugambar tua. 

Destinasi kedua yang kami lawati sekitar Sarajevo ialah Tunnel of Hope. Tidak cukup rasanya jika di Bosnia kita tidak melawat tempat sejarah peninggalan perang. Kerana kerakusan satu pihak ratusan ribu rakyat Bosnia di bunuh, perempuannya dirogol di hadapan suaminya, itulah kisah yang kita dengar. Sebelum peperangan negara-negara Balkan dari segi sosialnya saling berhubung rapat, banyak perkahwinan di antara rakyat negara Balkan, ialah mereka asalnya satu negara Yugoslavia, kebanyakan mereka faham bahasa antara mereka iaitu bahasa Slavic. Ketika kebanyakan tempat di Bosnia telah di kuasai dan Sarajevo telah di kepung, terowong ini menjadi laluan harapan antara lapangan terbang Sarajevo dengan bandar Sarajevo. Lapangan terbang Sarajevo ketika itu dikuasai United Nation dan melalui terowong inilah makanan, ubat-ubatan dan laluan pergerakan dapat disalurkan ke Sarajevo yang dikepung. Di dalamnya ada landasan kecil untuk memudahkan dan mempercepatkan saluran bantuan. 

Dalam perjalanan ke Mostar kami singgah untuk makan tengah hari di sebuah restoran di tepi tasik. ketika turun dari bas, kami dah tercium bau kambing dan rupanya menu tengah hari ini ialah kambing bakar. Sungguh teruja dapat makan kambing bakar, cuma rasanya agak plain dan tekstur dagingnya agak kasar. Nasib baik ada sos cili dan ada membawa sendiri mayonis. Dapatlah mengurangkan rasa loya makan daring kambing bakar yang kosong tanpa rempah. Lanjut dari itu kami meneruskan perjalanan ke bandar Mostar dan akhirnya kami pun sampai. Paling ikonik di Mostar ialah jambatan Stari Most, jambatan ini dibina pada kurun ke 16 oleh kerajaan Uthmaniyah merentangi sungai Neretva. Jambatan ini runtuh ketika perang Bosnia, berbanding Sarajevo yang cuba dikuasai Serbia, Mostar pula cuba dikuasai pihak Croatia. Begitulah sejarahnya, apa pun bagi kami yang melawati dan melewati jambatan ini, yang paling kami tak boleh lupa ialah lantainya yang dibuat dari batu-batu sungai yang agak besar, lengkungan jambatan ini agak tinggi juga dan untuk melangkah memang licin dan tak rata. Nak sampai ke hujungnya pun susah, nak bergambar pun kena hati-hati silap-silap phonenya akan terjun ke dalam sungai. Oh ya, jambatan ini juga terkenal sebagai tempat aktiviti terjun. Akan ada masa-masa yang mereka buat aktiviti terjun untuk mencabar keberanian diri. Waktu winter tak pula ada yang nak terjun. Selesai di jambatan kami berkumpul di sebuah masjid lama, masjid ini ada bayaran untuk masuk tetapi untuk solat adalah percuma. Beruntunglah orang-orang yang solat. Masjid ini juga dibina di zaman Uthmaniyah, nampak jelas ciri-cirinya. 

Okay, sekarang baru sampai ke catatan tempat yang akan paling diingati sepanjang perjalanan. Selesai di bandar Mostar kami ke satu tempat di Blagaj (sebutannya Blagai). Kami dibawa ke sebuah tempat berkumpulnya orang sufi atau sekarang biasa disebut tarikat. Untuk sampai ke tempat itu kami perlu berjalan sedikit mendaki, dah di laluan itu ada pengawal yang menjaganya. Walaupun ada pengawal jangan sangka orang jahat ini takut, mereka lebih pakar dalam melakukan kerja mereka. Ketika aku dan isteri berjalan beriringan, di hadapan dan di belakang ada kumpulan rombongan kami. Entah macam mana di hadapan kami ada dua orang perempuan sedang berjalan dan kemudian berhenti untuk mengambil gambar di satu tempat. Kemudian mereka masuk semula berjalan di belakang kami. Entah macam mana salah seorang darinya dapat ambil purse wife sedangkan handbag sentiasa diletakkan ke hadapan. Memang dia dan dapat ambil dan entah macam mana isteri terperasan dan terus pusing belakang minta balik purse itu dengan dua orang perempuan itu. Mereka terus panik dan buat-buat kata purse itu terjatuh. Sempat wife check sama ada mereka ada ambil duit atau tidak, dan mereka memang tak sempat buat apa lagi. Syukur betul cuma cukup traumalah masa tu. Tak nak panjangkan cerita kami terus tinggalkan mereka. Setelah berkumpul berdekatan tempat sufi itu kami pun ceritakan pada ahli rombongan lain, dan guide kami minta kami sentiasa hati-hati dan menunjukkan walletnya yang sentiasa berantai untuk keselamatan. Mulanya kami tak berapa faham tentang tempat ini. Dalam perjalanan ada terperasan simbol Hu, Hu, Hu, lantas aku teringat tentang memang ada amalan tarikat zikir Hu Hu Hu. Pernah jadi isu juga di negara kita di mana ada ustaz yang memboleh zikir Hu Hu Hu walaupun Rasullullah saw tidak pernah mengajarkannya. Setelah dicari infonya di tempat sebegini biasanya di panggil dengan khanaqah, zawiya, atau takiya bergantung kepada zaman dan jenis tarikat. Dalam bahasa inggeris dipanggil shrine atau lodge. Ia menjadi tempat berkumpul orang tarikat untuk beribadah kerana ada kubur yang mereka anggap mulia. Hakikatnya tiada kubur yang boleh dianggap mulia kecuali kemuliaan itu disebut dalam Al-Quran atau hadits. Di situ ada dua jasad yang ditinggalkan di sebuah bilik, terdapat bilik-bilik lain dan ada satu ruang seperti tempat bertafakur. Untuk info lanjut boleh baca pada pautan ini berkenaan tempat ini tetapi jangan sampai terpengaruh pula. Cukuplah kita berpegang dengan apa yang dicontohkan oleh Rasulullah saw. Tak perlu meninggalkan kehidupan dunia, mensucikan hati dengan bertapa dan berzikir dengan lafaz zikir yang tidak diajarkan oleh Nabi. Ada tarikat tertentu yang menyimpang apabila sampai ke marifat tertentu bermakna dia dan bersebati dengan tuhan dan tak perlu lagi beribadah seperti orang biasa. Apapun, sekitar tempat ini sangat cantik, sungai yang mengalir warnanya biru turquoise namun ini semua tak mampu meredakan lagi trauma dicopet.     

Jumaat, Februari 21, 2025

Travelog Kincir Air Mlinčići, Masjid & Cafe Malaysia Dan Sarajevo (Bosnia & Herzegovina)

Assalamualaikum dan selamat pagi Jumaat. Sambung siri catatan travelog Balkan 2025 pagi ini. Selesai di Zagreb kemi meneruskan perjalanan untuk bermalam di Bihac, Bosnia. Sungguh teruja rasanya untuk menjejakkan kaki di bumi Bosnia. Siapa yang pernah melewati zaman 90an pasti akan ingat peristiwa peperangan di Balkan yang melibatkan tiga negara utama iaitu Serbia, Bosnia dan Croatia. Lebih dari 50% rakyat Bosnia adalah beragama Islam. Pasca peperangan Malaysia pada ketika tu membantu dengan menghantar tentera pengaman di bawah United Nation. 

Kami bermalam di Hotel Rekic, di bilik hotel ini ada sofa bed, jadi dapatlah kami tidur dengan selesa. Apapun ada masalah juga pada pintu bilik, dah puas dicuba tetapi pintunya tak boleh dikunci. Disebabkan malas nak tukar bilik kami stay sahaja dengan menyendal pintu dengan beg besar semasa tidur. Paginya kami bersarapan mana yang meyakinkan sahaja kerana tiada jaminan halal walaupun dah berada di Bosnia. Walaupun ramai yang Islam namun ia bukanlah seperti di Malaysia, ada pihak berkuasa yang memantau status halal hotel-hotel.

Setelah itu kami meneruskan perjalanan ke Jacje. Di sini kami singgah di sebuah tasik  yang ada kesan peninggalan kincir air lama Mlinčići. Terdapat berpuluh kincir air dibina mengisar hasil tanaman sekitar 400 tahun dahulu. Kincir air ini dibina sekali dengan rumah kecil, dengan jambatan kayu yang menghubungkan antara setiap kincir air. Walaupun ia dibina di atas tasik, air yang melalui bawah kincir deras juga. Mungkin terdapat takung besar tasik di atas dan dilepaskan air masuk ke bawah dan melalui kincir air ini. Rumah-rumah kecil ini dilihat seperti tempat tinggal orang kerdil (seperti hobbit). Sangat mendamaikan apabila dapat berjalan sekitar tasik, melihat itik berenang di air dan menaiki jambatan kayu yang menghubungi antara tiap rumah kincir (hati-hati kerana ada tempat yang licin). Boleh lihat gambarnya di bawah pada gambar ke 2 hingga ke 4. 

Begitu ralit ahli rombongan mengambil gambar di sini sampaikan tour guide terpaksa menjerit-jerit memanggil supaya dapat kami meneruskan perjalanan. Mungkin ada yang teringin nak tinggal di sini agaknya. Kami menelusuri kawasan berbukit menuju ibu negara Bosnia iaitu Sarajevo. Dalam perjalanan kami dapat lihat banyak kampung-kampung di sepanjang perjalanan, diceritakan kebanyakan rumah-rumah ini tiada penghuni kerana ramai orang muda mingrate ke negara Eropah lain yang lebih maju untuk bekerja. Berkemungkinan juga rumah-rumah itu hanya sebagai rumah singgah yang dibeli orang-orang kaya untuk tujuan travel.

Dalam perjalanan ke Sarajevo kami singgah di Masjid Malaysia. Ini adalah satu kejutan yang tidak diberitahu dahulu oleh tour guide. Macam tak percaya ada masjid yang diberi nama Džamija Malezija (Masjid Malaysia) di sini. Disebabkan perut dah lapar eloklah kita makan dahulu sebab dah nampak Cafe Malaysia pula di tepi masjid ini. Kami dihidangkan dengan starter sup telur macam ada campur maggi yang hancur halus. Memang kegemaran akulah sup-sup ini, kemudian main dishnya adalah roti dengan daging mince di dalamnya, terus terlintas roti murtabak huhuhu. Rasanya seakan murtabak cuma lebih keras dan kering. Kemudian kami masuk ke masjid untuk solat jamak dan qasar. Lega dapat ke toilet yang ada air dan percuma. Masjidnya luas dan selesa, diluarnya ada plak yang tertera nama Dr Mahathir. Bangga jugalah kerana ada bukti jelas sumbangan rakyat dan kerajaan Malaysia dalam membantu Bosnia. 

Panjang pula jadi catatan ini, akhirnya sampai juga kami ke Sarajevo. Sebelum tiba di Sarajevo ketika melalui jalan yang ada apartment di kiri kanan jelas masih ada kesan peperangan yang tidak dibaiki. Kesan peluru pada dinding bangunan masih ada kelihatan. Sambil-sambil tu tour guide mendendangkan satu lagu tempatan. Sedap juga suaranya. Sarajevo sebenarnya bukanlah satu bandar yang maju sangat, pada tahun 1984 Sarajevo terpilih untuk menganjurkan sukan Winter Olympic. Disebabkan hotel tidak mencukupi rakyat Sarajevo bersedia menumpangkan pengunjung di rumah mereka, sehingga kini mereka sangat berbangga dengan penganjuran itu sampaikan pada fridge magnet atau key-chain cenderamata masih boleh didapati maskot Winter Olympic 1984 dijual. 

Pusat bandar Sarajevo yang menjadi tumpuan pelancong agak unik kerana bandarnya seperti terpecah kepada dua, satu bahagian adalah bandar lama dan sebelah lagi bandar baru dan moden. Bangunannya berbeza binaan dan ada batas antaranya. Kami diterangkan tentang di mana hotel pertama di Sarajevo, diceritakan penghuni dilayan seperti tetamu selama 3 hari tanpa perlu membayar hotel dan makan. Sarajevo menjadi tempat persinggahan yang menghubungkan laluan keretapi dari Eropah dan Asia (Turki). Lama kami mundar mandir di Sarajevo, sempat juga solat Maghrib dan Isya di sebuah masjid lama sayangnya tak boleh masuk ke dalam hanya solat di bahagian luar dalam kesejukan. Kami makan malam di sebuah restoran yang menyesiakan daging hancur yang dikepal kemudian dibakar. Macam biasa aku makan sampai habis sedangkan ramai juga yang tak berjaya menghabiskan makanan.         

Isnin, Februari 17, 2025

Ganti Batu Cincin Di Ropewalk Bagan, Butterworth

Assalamualaikum dan selamat petang. Tangguh dahulu catatan Balkan 2025 sebab nak buat catatan terkini pula. Entah macam mana dalam minggu lepas masa bekerja perasan batu cincin dah hilang, adalah tu jatuh di mana-mana di sekitar tempat kerja. Sedih pula rasa jadi bertitik tolak dari perkara itu gigihlah aku memikirkan macam mana nak cari ganti batunya. Aku pun cuba cari-cari di Marketplace. Adalah juga jumpa beberapa orang yang menjual cincin siap, ada yang terpakai, ada yang lokasinya jauh. 

Aku cuba cari yang paling dekat dengan menyusun senarai berdasarkan lokasi paling dekat. Ada seorang itu menjual cincin, bila aku semak semua iklannya ada juga dia menjual batu. Setelah berjanji aku pun ke tempatnya yang cukup dekat dengan rumah, walau pun tak berapa banyak batu yang ada dan kebanyakkannya aku kurang berkenan. Entah macam mana aku tertarik dengan batu jed hijau yang dipotong bersegi. Maka berlakulah jual beli dengan penjual itu. Mulanya aku ingat sekejap sahajalah prosesnya, tapi penjual ni jenis yang rajin bercerita, habis cerita batu dan cincin di keluarkan pula beberapa keris, minyak wangi. Panjang pula jadi ceritanya, aku pun layankan sahajalah. Seronok juga bersembang dengan orang yang mendalami satu perkara itu. Aku pula sekadar suka memakai sahaja. Dia mencadangkan untuk memasang batu itu untuk ke Ropewalk Bagan kerana ada beberapa tukang cincin di situ.

Semalam (Ahad) aku ke Ropewalk Bagan di Butterworth. Rupanya Ropewalk ni meriah dalam pukul 12PM macam tu, aku pukul 10AM dan sampai. Tak banyak yang buka lagi dan aku pun pergi sarapan di Restoran Nasi Kandar Jamal Mohamed di Butterworth. Aku hanya makan roti canai dan teh tarik sahaja sedangkan ketika itu orang dah beratur untuk makan nasi kandar. Aku bukan yang jenis makan nasi kandar pagi, kalau hampir-hampir ke tengan hari tu ok lah lagi.

Selepas sarapan aku pun memecutkan motosikal untuk ke Ropewalk Bagan semula, terpaksa lagi mundar mandir kerana tukang cincin masih belum sampai. Ada aku bertanya dengan orang-orang di situ, katanya biasa dah sampai. Hampir sahaja putus asa, tiba-tiba perasan ada orang sedang mula susun barang-barang jualan batu dan cincin. Bila aku tanya kedai yang tengah disebabkan dia baru sampai dia suruh ke kedai yang hujung untuk pasang batu. Aku pun ke kedai hujung untuk memasang batu cincin, rumit juga kerjanya. Selesai pemasangan dia suruh aku cuci di kedai tengah tadi. itulah hebatnya orang Melayu berniaga, tak sibuk nak berebut pelanggan malah membantu antara satu sama lain pula. Aku cuci dua cincin sekali dengan harga RM10. Sangat berbaloi pada ada aku dan aku balik dengan rasa gembira sekali. 

Sekarang ada 3 cincin perak yang boleh digilirkan. Orang lelaki hanya boleh pakai cincin perak, ia adalah sunnah. Emas bukan perhiasan lelaki dan haram dipakai. Suasa pula tidak boleh dipakai kerana mengandungi sedikit kandungan emas, manakala besi biasanya stainless steel ada juga laranganya. Ada juga jenis tembaga yang aku tak pasti tentang hukumnya. Ketiga-tiga cincin ini aku beli semasa mengerjakan umrah pada tahun 2015, 2019 dan 2024. Ada aku buat catatan sebelum ini berkenaan cincin yang dibeli di Madinah pada awal tahun 2024. Nikmati gambar-gambar dan kapsyen di bawah.